Rabu, 19 Jun 2019 | 5:52pm
ERRA berharap semua pihak tidak lagi membicarakan kontroversi yang mengaitkannya dengan Umie Aida. Foto Intan Nur Elliana Zakaria

'Kontroversi dengan Umie titik hitam dalam hidup'

KUALA LUMPUR: Pelakon Erra Fazira menyifatkan kontroversi membabitkan dirinya dan sahabat baik, Datin Seri Umie Aida sebagai titik hitam dalam hidup.

Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 45, bagaimanapun cuba melihat isu itu dari sudut positif, selain menjadikannya sebagai pengajaran yang mematangkan lagi diri.

“Apa yang berlaku, sama ada kita terlanggar lubang atau dinding, semuanya memberi pengajaran buat diri kita. Semua yang terjadi itu membentuk saya menjadi lebih baik.

“Saya hanya mahu pandang ke hadapan dan menjalani hidup dengan lebih positif,” katanya.

Penyanyi lagu Pasrah dan Yang Terindah Hanya Sementara itu juga berkata, dia mahu melupakan peristiwa yang berlaku, selain meneruskan hidup seperti biasa.

“Saya tidak berhasrat menjawab atau membicarakan lagi isu ini. Harap semua pihak menghormati keputusan ini.

“Saya hanya mahu teruskan hidup dengan lebih baik, produktif, tenang dan damai. Tolong doakan perjalanan saya lebih baik,” katanya ketika ditemui pada sidang media program, Mingguan Wanita musim terbaru, di sini, hari ini.

Desas-desus perang dingin antara dua pelakon popular itu mula diperkatakan apabila Umie memuat naik luahan hati, mendakwa dikhianati sahabat baiknya sendiri di laman Instagram, minggu lalu.

Umie bagaimanapun, sudah memadam perkongsian itu. Meskipun tidak menyebut gerangan individu dimaksudkan, pelbagai pihak membuat tanggapan ia ditujukan kepada Erra, apabila masing-masing tidak lagi saling mengikut di laman sosial.

Susulan spekulasi itu, Erra tampil memohon maaf secara terbuka menerusi laman sosial pada Jumaat lalu, sekali gus berharap isu antara mereka selesai.

3700 dibaca
Berita Harian X