Rabu, 26 Jun 2019 | 8:40am
Lisa (dua dari kanan) tampil berhijab pada sebuah acara lalu menjadi topik perbualan peminat yang berharap aktres berkenaan mengekalkan imej bertudung. - Foto IG Lisa Surihani

'Doakan saya istiqamah'

KUALA LUMPUR: Sekembalinya daripada mengerjakan umrah, Lisa Surihani tampil berhijab dan ramai peminat berharap dia mengekalkan imej itu.

Sedar mengenai perkara itu, ibu kepada dua anak ini bagaimanapun menganggap keputusan sama ada mahu kekal bertudung atau sebaliknya, terlalu peribadi.

“Jauh di sudut hati kecil saya, hal ini (bertudung) memberikan banyak terjemahan dan kesimpulan.

“Saya agak bimbang apabila ada yang membuat andaian perubahan ini (bertudung) sebagai imej baharu.

"Bimbang kalau saya terus muat naik foto memakai tudung, seolah-olah mahu meraih pujian sesama insan.

“Ia sangat peribadi... Sebab itu saya ambil masa yang agak lama untuk memuat naik gambar ini. Saya harap terus istiqamah dalam hal ini dan melakukannya kerana Allah. Jauh sekali atas tekanan atau kehendak sesiapa," katanya kepada BH Online.

Akur dengan fitrah manusia yang sering diuji, isteri kepada Yusry Abdul Halim ini mahu menikmati fasa baharu ini perlahan-lahan.

“Dalam hidup ini, kita tak pernah lari daripada melakukan kesilapan. Setiap hari juga kita cuba mengubah diri menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

“Pengalaman mengerjakan umrah bersama suami, anak dan keluarga baru-baru ini, saya sifatkan begitu indah.

“Moga lembaran baharu ini dapat saya nikmati sebaik mungkin," katanya yang hangat diperkatakan selepas foto menghadiri majlis anjuran Snap Inc, semalam, viral.

Peminat dan rakan artis memuji ibu kepada Yahaira Leanne dan Yusof Leonne ini yang tampak manis bertudung pada acara itu.

4002 dibaca
Berita Harian X