Rabu, 26 Jun 2019 | 11:00am
PELAKON dan penyanyi, Azza Zawari, tidak kisah melakukan pelbagai kerja bagi menambah pendapatan keluarga. - Foto Instagran Azza
SUAMI Azza, Azlan Zulaily bersama anak mereka, Muhammad Adam. - Foto Instagram Azza

Azza restu suami jadi mekanik

KUALA LUMPUR: Selepas enam tahun mengusahakan perniagaan bersama-sama, pelakon dan penyanyi, Azza Zawari, memaklumkan suaminya, Azlan Zulaily, kini bekerja sendiri sebagai mekanik.

Mendirikan rumah tangga dengan lelaki berkenaan sejak 2012, anggota kumpulan Elite itu berkata, dia bersikap terbuka dengan keputusan dibuat pasangannya.

“Saya pula masih meneruskan kerja sebagai hos sambilan untuk program jualan atas talian, selain menjayakan segmen parodi bagi sebuah rancangan hiburan. Di samping itu, saya berniaga sendiri dengan menjual bedak sejuk, pakaian dan produk kecantikan.

“Selepas bersama-sama membangunkan perniagaan yang kami usahakan sendiri, saya memberikan keizinan untuk suami bekerja mengikut minatnya pula. Selama ini, dia banyak berkorban untuk kepentingan bersama. Apabila masing-masing bekerja, bolehlah kami menambah pendapatan sekeluarga.

“Pada masa sama, saya juga suri rumah yang menguruskan sendiri segala kerja di rumah, termasuk menjaga anak angkat kami, Muhammad Adam. Jadi, ketika awal-awal suami bekerja dahulu, situasi memang kelam kabut. Namun, ia menjadi proses pembelajaran terbaik untuk saya,” kata Azza.

Kata Azza lagi, melakukan kerja rumah juga adalah ibadat.

“Mudahnya untuk kita memungut pahala di rumah. Dengan niat yang betul, membuat kerja rumah itu menjadi amalan mulia yang tidak berbanding nilainya.

“Masa adalah emas, justeru saya perlu memanfaatkannya dengan sebaik mungkin. Saya memang perlu melipatgandakan usaha untuk masa depan lebih baik,” katanya yang tidak ketinggalan membuat ulasan perniagaan di Instagram.

Berita Harian X