Selasa, 2 Julai 2019 | 11:51am
FADILAH dimasukkan ke hospital, kelmarin disebabkan masalah jantung. FOTO NSTP

Masalah jantung, Fadilah Mansor masuk hospital

KUALA LUMPUR: Balu Allahyarham Datuk A Rahman Hassan, Datin Fadilah Mansor, 59, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), kelmarin disebabkan masalah jantung.

Anak tirinya, Khir Rahman, berkata keadaannya kini sudah beransur stabil selepas menerima rawatan, namun doktor masih menjalani pemantauan.

“Alhamdulillah, berbanding semalam, hari ini dia sudah nampak semakin bertenaga dan boleh berbual macam biasa.

“Sebelum ini, dia memang mempunyai masalah jantung, tetapi tidak serius. Ketika arwah abah masih ada, mereka kerap buat pemeriksaan berkala.

“Cuma, mungkin disebabkan letih, tidak berselera makan dan pening, dia jadi sukar bernafas. Pada awalnya, kami sangkakan gastrik,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Sementara itu, Fadilah menerusi balasan kiriman menerusi WhatsApp memaklumkan, dia ditempatkan di Wad Pemulihan Jantung HKL.

“Ya, saya kena serangan jantung. Mungkin disebabkan tekanan,” katanya ringkas yang turut berterima kasih kepada mereka yang mendoakan kesihatannya.

Terdahulu, Fadilah mendirikan rumah tangga dengan A Rahman pada 25 Disember 2014. Penyanyi popular era pop yeh yeh itu menghembuskan nafas terakhir di usia 73 tahun pada 13 Jun lalu.

3728 dibaca
Berita Harian X