Sabtu, 6 Julai 2019 | 7:31pm
PELAKON, Hanez Suraya, bersyukur proses kelahiran anak keduanya dipermudahkan. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Putri pangkal nama anak kedua Hanez Suraya

KUALA LUMPUR: Pelakon, Hanez Suraya, 33, akan meneruskan tradisi mengekalkan pangkal nama Putri buat anak keduanya yang dilahirkan semalam.

Katanya, dia dan suami, Romie Razin Adilha, juga mungkin mengekalkan perkataan seperti ‘sha’ pada penghujung nama puteri mereka.

“Saya mengikut sahaja kemahuan suami untuk menyeragamkan nama anak. Begitupun, sehingga kini kami belum mempunyai nama rasmi untuk si kecil. Apa yang pasti, namanya bermula dengan Putri.

“Cahaya mata sulung kami, umpamanya, diberikan nama Putri Aleesya, manakala anak suami menerusi perkahwinan terdahulu dinamakan dengan Putra Adreeshah dan Putra Rayqashah,” katanya.


ANAK perempuan kedua Hanez Suraya yang selamat dilahirkan di sebuah pusat perubatan di ibu kota, semalam. - Foto NSTP

Bintang Love You Mr Arrogant itu selamat melahirkan anak perempuan kedua di sebuah pusat perubatan di ibu kota, semalam.

Bayi comel berkenaan dilahirkan secara normal dengan berat 3.55 kilogram.

Hanez bersyukur apabila proses kelahiran kali ini dipermudahkan apabila dia hanya perlu berada di bilik bersalin selama kira-kira lima jam.

“Hasrat untuk melahirkan anak kedua pada Julai juga nampaknya dimakbulkan. Suami memang amat berharap nak melihat anak kami dilahirkan bulan ini kerana dia cukup sukakan angka tujuh. Malah, plet keretanya juga perlu ada angka berkenaan,” katanya yang akan berpantang di Shah Alam, Selangor.

Menyentuh jantina si kecil, Hanez berkata, dia sebenarnya teringin menimang anak lelaki.

“Maklumlah, anak pertama saya adalah perempuan, jadi kalau diikutkan hati, teringin hendak menimang cahaya mata lelaki pula. Bagaimanapun, kami sekali lagi dianugerahkan rezeki cahaya mata perempuan,” katanya.

Menurut Hanez, Aleesya, 3, juga amat gembira dengan kehadiran adiknya kerana dia kini sudah boleh membahasakan dirinya sebagai kakak.

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 25 Mac 2015.

Berita Harian X