Isnin, 8 Julai 2019 | 3:31pm
Noorkhiriah berdebar menunggu detik bermulanya penggambaran filem Nur, awal tahun depan. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman

Angkat Nur ke filem, Noorkhiriah tak mahu 'over'

KUALA LUMPUR: Pernah tampil dalam lapan filem, Noorkhiriah tidak mampu menyembunyikan rasa gementar apabila pengarah drama popular, Nur, mempelawa dirinya beraksi dalam projek filem naskhah sama, tahun depan.

Noorkhiriah yang memikat penonton dengan watak Aishah dalam drama itu, menanti detik penggambaran yang dijadual bermula pada Mac, dengan penuh debaran.

“Sebenarnya, saya tak mahu teruja sangat biarpun pada hakikatnya, sangat gembira dengan perkembangan ini.

“Cuma, iyalah, apa sahaja boleh terjadi sebelum tibanya detik itu. Dengan berita insan yang pergi secara mengejut seperti yang kita lihat, bila-bila masa sahaja Allah boleh mencabut nyawa kita.

“Semoga apa yang dirancang dipermudahkan... Semestinya ruang untuk terus menghidupkan watak Aishah menjadi antara rahmat indah dan sangat membekas dalam hati,” katanya kepada BH Online.

Jumaat lalu, pengarah dan penerbit, Shahrulezad Mohameddin mengesahkan drama rantaian popular, Nur, bakal diangkat ke layar perak, tahun depan.

Shahrulezad dilaporkan berkata, filem berkenaan akan diterbitkan oleh syarikat produksi miliknya, Radius One Sdn Bhd dengan kerjasama Primeworks Studios.

Noorkhiriah menganggap watak Aishah terlalu istimewa dan berbeza.

“Pengarah berani mencabar saya memikul watak yang membawa saya keluar dari zon selesa.

“Tidak semua pengarah berani melawan arus. Shahrulezad tahu kemampuan setiap pelakon, tetapi tidak mahu kami terus selesa dengan apa yang pernah diberi,” katanya.

Kali terakhir ibu beranak tiga ini beraksi di layar perak adalah adalah pada tahun 2017 melalui filem Kamar Seksa.

“Antara filem lakonan saya adalah Gubra, Syaitan, Susuk, Papadom 1 dan 11 dan Los & Faun.

“Ketika dapat panggilan daripada Shahrulezad mengenai Nur yang mahu diangkat kepada filem, saya terkejut. Saya tahu sebelum ini, ada ura-ura tapi tak sangka ia benar-benar menjadi kenyataan.

“Alhamdulillah, nampaknya Allah beri saya rezeki sekurang-kurangnya dapat berlakon sekali setahun,” katanya yang berharap Nur boleh menjadi sebaik filem Gubra.

1930 dibaca
Berita Harian X