Selasa, 9 Julai 2019 | 3:06pm
AZHAN mahu berbincang dengan Shahrulezad sebelum memberi kenyataan mengenai pembabitannya dalam filem Nur. Foto Nur Adibah Ahmad Izam

'Jadi Ustaz Hamadi lagi? Biar kami bincang dulu'

KUALA LUMPUR: Pelakon Azhan Rani mahu terlebih dulu berbincang dengan pengarah Shahrulezad Mohameddin sebelum membuat keputusan membintangi filem Nur.

Azhan berkata, ketika ini, dia memilih untuk tidak memberikan sebarang kenyataan kerana bimbang tindakannya itu akan memakan diri.

“Saya sudah minta pihak produksi mematikan watak Ustaz Hamadi dalam drama Nur 2 dan berharap karakter itu terhenti di situ.

“Tetapi, apabila ada ura-ura Nur bakal diangkat ke layar perak, mungkin tidak logik jika Ustaz Hamadi kembali dan hidup semula.

“Jadi, saya mahu berbincang terlebih dulu dengan Shahrulezad mengenai watak itu. Itu lebih baik sebelum saya membuat keputusan kerana banyak perkara perlu diperincikan,” katanya.

Azhan berkata, dia terhibur membaca pelbagai cadangan peminat setia drama rantaian popular itu, malah ada yang memberikan idea supaya watak kembar Ustaz Hamadi ditampilkan dalam filem itu nanti.

“Jika boleh, saya tidak mahu kenyataan yang diberikan memakan diri kerana sebelum ini, saya sudah mencapai kata putus untuk tidak lagi tampil dalam sekuel Nur.

“Jika memang tertulis rezeki saya, insya-Allah saya akan muncul dalam filem itu nanti. Kita tunggu sahaja apa perkembangannya nanti,” katanya.

Terdahulu, Shahrulezad mengesahkan, watak Ustaz Hamadi bakal dihidupkan semula dalam filem yang akan memulakan penggambarannya, Mac tahun depan.

Filem itu bakal diterbitkan syarikat produksi miliknya, Radius One Sdn Bhd dengan kerjasama Primeworks Studios.

“Saya bagaimanapun, berterima kasih kepada peminat yang banyak memberikan sokongan kepada produksi Nur sehingga ia diangkat ke layar perak.

“Kami bekerja sudah seperti keluarga dan sehingga sekarang, hubungan baik kami masih bertahan,” kata Azhan.

Sementara itu, Azhan berkata, dia bakal terbabit dengan pementasan teater muzikal, Semarak Pertiwiku anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak dan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Teater itu dipentaskan di Auditorium Tun Ahamd Zaidi Adruce, Institusi Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang dari 12 hingga 14 Julai ini, bermula jam 8 malam.

Berita Harian X