Rabu, 10 Julai 2019 | 1:00pm
FADILAH berharap dapat kembali berlakon apabila keadaan kesihatan mengizinkan. Foto IG Fadilah Mansor

Sunyi selepas kematian suami, Fadilah mahu kembali berlakon

KUALA LUMPUR: Dramatis, Datin Fadilah Mansor, 59, yang dibenarkan keluar hospital, minggu lalu akibat masalah jantung berharap dapat kembali berlakon selepas kesihatannya pulih.

Fadilah berkata, perasaan sunyi selepas kematian suami, Allahyarham Datuk A Rahman Hassan membuatkan dia cuba sibukkan diri dengan bekerja, berbanding tinggal di rumah.

“Ketika hayatnya masih ada, arwah tidak pernah menghalang saya aktif, malah kami saling menyokong kerjaya seni masing-masing.

“Sepanjang tahun ini, ada beberapa drama yang saya bintangi. Sepatutnya saya terbabit dalam sebuah projek terbaru, tetapi saya tolak disebabkan masih dalam tempoh edah.

“Tambahan pula, keadaan kesihatan saya juga kurang mengizinkan, tetapi jika tidak culas mengambil ubat dan mengamalkan gaya hidup sihat, insya-Allah, saya boleh kembali ke set.

“Doktor juga maklumkan, salur darah yang tersumbat hanya sedikit,” katanya yang hanya berehat di rumah selepas dibenarkan pulang pada 3 Julai lalu.

Terdahulu, balu kepada ikon pop yeh yeh itu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), akhir bulan lalu selepas mengadu sesak nafas.

Menceritakan kejadian itu, Fadilah berkata, dia tiada selera makan, membuatkan kepalanya pening dan nyaris pitam serta sesak nafas.

“Rindu terhadap arwah semakin terasa selepas beberapa hari pemergiannya. Saya sukar tidur, tidak berselera makan dan sayu sepanjang masa kerana selalu terbayangkan arwah.

“Mungkin faktor itu membuatkan saya lemah dan sesak nafas, tetapi tidak sangka pula membawa kepada masalah jantung memandangkan sebelum ini, saya kerap membuat pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Fadilah mendirikan rumah tangga dengan A Rahman pada 25 Disember 2014. Penyanyi popular itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 73 tahun pada 13 Jun lalu.

2639 dibaca
Berita Harian X