Ahad, 14 Julai 2019 | 6:46pm
Khaidir menyampaikan cenderahati kepada Alha pada majlis prapelancaran ABPBH 32 di Tamu Hotel & Suites di ibu negara, Jumaat lalu. Foto Eizairi Shamsudin

Alha Alfa teruja jayakan ABPBH 32

KUALA LUMPUR: Meneruskan tajaan bagi tahun kedua, pengasas Alha Alfa Cosmetics, Datuk Alha Alfa teruja menggerakkan kempen Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 yang dianggap platform terbaik mempromosikan produk keluaran syarikatnya.

Alha atau nama penuhnya, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil berkata, tema ‘Melangkaui Sempadan’ yang dipilih diharap dapat dijelmakan dalam semua inisiatif dirancang sehingga malam kemuncak ABPBH 32 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) pada 22 September depan.

“ABPBH adalah antara acara anugerah hiburan tempatan yang dinanti-nantikan semua orang.

“Ini memberi keyakinan kepada saya untuk menggunakan medium ini bagi mempromosikan produk kosmetik yang diasaskan syarikat ke seluruh negara.

“Seperti yang kita sedia maklum, bidang solekan dan dunia seni sangat rapat. Jadi, saya fikir, tidak salah untuk meneruskan kerjasama ini.

“Sejujurnya, saya tidak terlalu cerewet dan terbuka untuk menerima cadangan terbaik termasuk untuk slot persembahan dan barisan penyampai trofi pada malam kemuncak,” katanya kepada BH Online.

Jumaat lalu, pada majlis prapelancaran ABPBH 32 di Tamu Hotel & Suites di sini, Alha Alfa Cosmetics diumumkan sebagai penaja utama ABPBH 32.

Acara itu turut dihadiri Pengarang Eksekutif, Komersial dan Ehwal Semasa BH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Hiburan BH merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Shamshul Azree Samshir.

Turut diraikan adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Peter Schiesser, mewakili DuitNow yang menjadi penaja bersama ABPBH 32.

Alha berkata, pihaknya berharap ‘demam’ ABPBH 32 dirasakan peminat termasuk cadangan membawa lebih ramai penyokong menyaksikan acara itu secara langsung di PICC.

“Elemen kejutan termasuk dalam segmen persembahan pada malam kemuncak juga menjadi sesuatu yang ditunggu-tunggu seperti bintang yang sudah lama tidak muncul, mungkin boleh dibawa beraksi kali ini,” katanya.

Proses undian ABPBH 32 dibuat melalui laman web www.abpbh.com.my bermula esok sehingga 14 Ogos depan.

Calon dipilih berdasarkan produk yang dihasilkan mulai Januari hingga Disember 2018.

Undian ABPBH 32 lebih menarik kerana peminat berpeluang menggandakan undian menerusi langganan BH Digital dengan membuat pembayaran menggunakan sistem DuitNow.

Berita Harian X