Selasa, 16 Julai 2019 | 1:00pm
Faizal melanjutkan pengajian dalam jurusan Industri Kreatif dan Budaya di UK. Foto Khairul Azhar Ahmad

Faizal Ismail lanjut pengajian di UK

KUALA LUMPUR: Hasrat bekas penyampai radio dan pengacara popular, Faizal Ismail untuk menyambung pelajaran pada peringkat Sarjana menjadi kenyataan apabila dia bakal memulakan pengajiannya di Universiti Cardiff, United Kingdom (UK), September ini.

Faizal yang mesra disapa FBI berkata, impian itu sudah tiga tahun tersimpan, namun baru kini dapat dilunaskan. Dia bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Industri Kreatif dan Budaya.

“Ketika merancang untuk menyambung pelajaran, tiga tahun lalu, isteri mengandung dan hasrat itu terpaksa dilupakan seketika. Alhamdulillah, impian itu akhirnya tercapai juga dengan izin Allah.

“Saya berharap, segala ilmu dan pengalaman yang dikutip sepanjang di sana nanti dapat dimanfaatkan untuk pembangunan masyarakat kelak, insya-Allah,” katanya.

Turut membawa isteri dan anaknya bersama, Faizal berkata, kesempatan itu secara tidak langsung memberikan mereka pendedahan untuk menyesuaikan diri dengan suasana baharu.

“Alang-alang menyambung pengajian di UK, saya mahu anak turut mendapat pendedahan di tempat baharu. Mereka juga akan bersekolah di sana.

“Sekurang-kurangnya, ada pengalaman berbeza yang mungkin tidak dapat dirasai di negara sendiri,” katanya lagi.

Biarpun bakal menetap di luar negara, Faizal berkata, dia akan tetap meneruskan perniagaan makanan sedia dinikmati menerusi ejen terpilih.

“Insya-Allah, saya akan memperkenalkan produk itu ke UK pula. Selain itu, program temu bual dalam talian bersama Fara Fauzana iaitu Dbilique akan diteruskan seperti biasa,” katanya.

Berita Harian X