Rabu, 24 Julai 2019 | 9:00am
PU Riz kini mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan restoran dan pengajian dalam bidang undang-undang. - Foto NSTP

Bangkit dengan semangat baharu, Riz mahu majukan restoran

KUALA LUMPUR: Pelakon, Riz Ismail, 24, mahu melupakan kontroversi melanda dirinya dengan mengorak langkah dalam bidang perniagaan.

Bekas peserta program Pencetus Ummah (PU) musim keempat itu berkata, pengalaman yang ditempuhi menjadikannya insan lebih matang dan kini mahu bangkit bersama semangat baharu.

Meneruskan legasi bapa dalam bidang terbabit, Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail mahu memajukan restoran Food Station miliknya yang beroperasi sejak lapan bulan lalu, di sini.

“Bapa menjadi mentor saya dalam segala perkara dilakukan, termasuk perniagaan. Saya percaya, dalam hidup ini, kita perlu melakukan sesuatu yang menjamin masa depan.

“Saya masih cintakan dunia seni, tetapi saya melihat perniagaan makanan mempunyai prospek dan boleh dikembangkan lagi. Jadi, tiba masanya untuk restoran saya dipromosikan secara lebih meluas,” katanya dalam pertemuan bersama wakil media, di sini.

Pada masa sama, Riz meneruskan semula pengajian undang-undang peringkat Ijazah Sarjana Muda di sebuah universiti.

“Saya menyambung pengajian bagi memenuhi permintaan ibu. Saya memasuki dunia seni pun dengan restunya. Jadi, apa salahnya saya penuhi hasrat ibu yang mahu saya berjaya dalam akademik?

“Saya memang berat hati untuk menyambung kembali pengajian, apabila sudah mempunyai wang hasil pekerjaan sebagai penceramah dan anak seni. Namun, saya perlu bersikap realistik kerana menuntut ilmu tidak pernah merugikan kita,” katanya.

Riz pernah belajar selama setahun di Universiti Al-Azhar, Mesir, pada 2012, namun kembali ke Malaysia berikutan pergolakan di negara itu.

RIZ yakin perniagaan makanan mempunyai masa depan lebih baik. - Foto NSTP

Dia akui, kini dia perlu membahagikan masa dengan sebaik-baiknya apabila melakukan pelbagai perkara dalam satu masa.

“Ketika membulatkan tekad untuk menyambung pengajian, banyak tawaran lakonan yang datang. Ia memang menguji diri.

“Begitupun, saya perlu membuat pilihan dengan memberikan keutamaan kepada perkara dirasakan lebih penting. Sekarang, jika saya mahu menerima sesuatu undangan lakonan, saya kena pilih naskhah yang tidak memakan masa panjang mahupun mengganggu jadual kuliah.

“Apatah lagi, saya juga perlu menguruskan perniagaan restoran,” katanya yang kini berdebar menanti tayangan filem sulungnya, Ada Apa Dengan Dosa, yang menggandingkan dirinya dengan Wanna Ali.

Berita Harian X