Rabu, 24 Julai 2019 | 5:29pm
EXISTS kembali bersatu menjayakan konsert di Shah Alam dan Singapura. Foto Khairul Azhar Ahmad

Filem dokumentari lengkapi penyatuan semula Exists

KUALA LUMPUR: Penerbitan filem dokumentari, selain penganjuran konsert berskala mega di Malaysia dan Singapura menjadi pelengkap projek penyatuan semula kumpulan Exists.

Penganjur Konsert Exists Reunion, Shirazdeen Karim dari Shiraz Projects berkata, dokumentari berkisar perjalanan kerjaya kumpulan yang dikenali menerusi lagu Untukmu Ibu itu bakal menemui peminat sekitar Disember depan.

“Filem dokumentari itu menceritakan perjalanan kerjaya dan jatuh bangun Exists sepanjang lebih dua dekad dalam bidang seni.

“Ia turut memaparkan temu bual bersama setiap anggota kumpulan, selain mereka yang terbabit secara langsung dalam perkembangan kerjaya Exists.

“Ajai contohnya, mempunyai banyak cerita menarik yang boleh dikongsi dengan peminat,” katanya.

Selain itu, kemunculan semula Exists turut diiringi pembikinan album baharu dan mereka baru selesai merakamkan single pertama, Tak Berakhir.

Lagu ciptaan Ajai, Along dan lirik oleh Musa itu menyatukan vokalis asal kumpulan itu, Mamat dan penggantinya, Ezad Lazim.

“Lirik lagu ini lebih menceritakan mengenai hubungan kami secara peribadi, selain betapa kami menghargai projek penyatuan semula hingga sanggup korbankan masa bersama keluarga,” kata Musa pada majlis sidang media Exists Reunion, di sini, hari ini.

Tirai Konsert Exists Reunion dibuka di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 September ini, disusuli The Theatre at Mediacorp, Singapura pada 5 Oktober. Tiket berharga RM130 hingga RM700 boleh didapati menerusi laman web: www.myticket.asia.

911 dibaca
Berita Harian X