Isnin, 29 Julai 2019 | 3:31pm
ARTIS yang akan menjayakan siri jelajah ABPBH 32 di Komtar JBCC, Johor Bahru, Sabtu ini. - Foto NSTP

Jom gegar siri jelajah ABPBH 32 di JB, Sabtu ini!

KUALA LUMPUR: Kehangatan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 makin dirasakan apabila siri jelajah pertama acara anugerah hiburan berprestij ini bakal singgah di pusat beli-belah, Komtar JBCC di Johor Bahru, Johor, Sabtu ini.

Siri jelajah itu disertai 14 calon awal ABPBH 32 dan kumpulan muzik meningkat naik, One Avenue Band. Kumpulan dianggotai empat jejaka ini tersenarai dalam kelompok awal kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.

Artis lain yang bakal bertandang adalah Emma Maembong, Ara Johari, Aiman Tino, Ryan Deedat, DJ Lin, Afieq Shazwan dan Luqman Faiz.

Tidak ketinggalan Tuah, Aiman Tino, Muna Shahirah, Kanda Khairul, Adam Lee, Uchop dan Haiza yang bakal mengendalikan segmen artis bersama peminat.

Sejak dahulu, siri jelajah ABPBH menjadi antara pengisian penting bagi acara anugerah berprestij ini. Selain tanda penghargaan kepada peminat yang tidak jemu-jemu menyokong acara anugerah ini, siri jelajah membolehkan artis merapatkan hubungan dengan pengikut.

Sehubungan itu, pelbagai pengisian menarik diatur sepanjang siri jelajah itu yang diadakan di ruang legar utama Komtar JBCC, bermula jam 10 pagi.

Penganjur utama ABPBH 32, Alha Alfa Cosmetics membuka reruai atau gerai bagi memberi peluang kepada peminat melihat sendiri keunikan produk dipasarkan. Menaja ABPBH buat tahun kedua berturut-turut, Alha Alfa Cosmetics cukup sinonim dengan acara anugerah ini apatah lagi produk dihasilkan menepati tema ‘Melangkaui Sempadan’.

Tidak ketinggalan, penaja bersama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), iaitu pengendali perkhidmatan pembayaran elektronik, DuitNow, membuka gerai bagi memperkenalkan produk syarikat itu yang menjadi medium peminat melanggan akhbar digital BH sempena promosi ABPBH 32.

Calon awal kategori Penyanyi Lelaki Popular, Aiman Tino bersemangat untuk turun padang dalam lokasi pertama siri jelajah ABPBH 32.

Bagi Aiman, acara anugerah berprestij ini bukan sekadar medan bertemu peminat, malah merapatkan hubungan sesama artis.

“Siri jelajah mengeratkan hubungan sesama artis di mana kita jarang bertemu. Aktiviti seperti inilah keakraban hubungan kami dirasai.

“Sama juga hubungan dengan peminat. Saya bersyukur kehadiran saya dalam industri diterima baik. Disebabkan itu, saya meluangkan masa untuk menyertai siri jelajah pembukaan ini.

“Penampilan saya ini adalah bagi membalas jasa peminat dan media yang banyak menyokong saya,” katanya yang popular dengan lagu Ku Sesat Dalam Rindu ini.


Pelakon Emma Maembong antara artis yang akan menjayakan siri jelajah pertama ABPBH 32 di Komtar JBCC, Johor Bahru, Sabtu ini. - Foto ihsan @blackpepperproduction

Aiman mengaku tidak kisah mengorbankan masa bagi menjayakan siri jelajah promosi ABPBH ini.

Bagi bakat baharu, Muna Shahirah, siri jelajah ABPBH 32 memberi makna yang besar buat dirinya. Apatah lagi, Muna dapat pulang ke Johor, yang juga negeri kelahirannya.

“Tahun lalu saya dicalonkan dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular. Namun, ketika itu, saya tidak berkesempatan menyertai mana-mana siri promosi.

“Tahun ini, sekali lagi, saya dicalonkan dan dijemput pula menjayakan siri jelajah. Sudah pasti saya tidak akan melepaskan peluang ini.

“Saya sangat teruja kerana ini kali pertama saya menyertai siri jelajah ABPBH. Jadi, saya akan menghadiahkan peminat dengan persembahan single kedua berjudul Teguh Setia.

“Saya anggap lagu ini memberi impak yang kuat sehingga saya dicalonkan buat kali kedua pada ABPBH,” katanya.

Haiza yang menjadi calon awal bagi kategori Penyampai Radio Popular dan Artis Versatil Popular, tidak sabar untuk bertandang ke Johor Bahru.

Baginya, platform ABPBH membolehkan artis mendekatkan diri dengan peminat.

“Sudah lama rasanya saya tidak menyertai siri jelajah ABPBH. Saya tidak dapat ingat bila kali terakhir saya turut serta dalam acara begini. Kali ini, dapat peluang jadi hos, sudah pasti saya teruja.

“Sebagai penyampai radio, saya selalu bercakap di konti sahaja. Kali ini, dapat turun padang bertemu peminat. Johor sudah dikenali sebagai destinasi yang tidak pernah gagal dalam menarik peminat dalam mana-mana acara.

“Jadi jangan lepaskan peluang untuk bertemu calon-calon kegemaran anda di Komtar JBCC kelak,” katanya.

Selepas Johor Bahru, siri jelajah ABPBH 32 akan diadakan di Alor Setar, Kedah, pada 24 Ogos depan. Ini disusuli acara santai bersama kelab peminat, #FANtastik dan showcase istimewa akan diadakan di Eco Grandeur, Puncak Alam, pada 14 September depan.

Sementara itu, belum terlambat untuk pembaca BH mengundi selebriti yang difikirkan layak mengungguli gelaran popular sebelum pemenang diumumkan pada malam kemuncak ABPBH 32 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September depan.

Undian awal ABPBH32 dibuka sejak 15 Julai lalu sehingga 14 Ogos depan. Selain proses undian online, peminat berpeluang menggandakan undian menerusi pakej promosi langganan akhbar digital BH hasil kerjasama DuitNow.

Selain 15 kategori utama termasuk dua kategori baharu, Artis Korea Popular dan Artis Indonesia Popular, sebanyak lima kategori online turut dipertandingkan bermula tarikh sama di laman web www.abpbh.com.my.

Berita Harian X