Isnin, 29 Julai 2019 | 6:22pm
Foto mesra dikongsi Ammar di Instagram membuat peminat menyangka dirinya sudah berbaik dengan Nelissa. Foto IG Ammar Alfian

Dakwa suami curang, Nelissa tak mungkin berbaik

KUALA LUMPUR: Kemelut rumah tangga Ammar Alfian dan Nelissa Nezam bagai tidak berkesudahan apabila wanita itu berang aktor sasa terbabit memuat naik foto di laman sosial yang seolah-olah menunjukkan mereka sudah berdamai.

Nelissa menjelaskan, dia tidak mungkin kembali ke pangkuan suami yang didakwa tidak menghormati perasaannya dan anak dikandung.

“Datang kepada saya untuk kembali bersama? Saya tak rasa begitu sayang. Muat naik foto kita bersama tidak akan membuatkan saya kembali kepada kamu,” luahnya di Instagram.

Nelissa mengulas foto mesra antara dirinya dan Ammar dalam keadaan mesra yang menarik perhatian peminat. Pada perkongsian itu, pelakon terbabit turut menyelitkan kapsyen berbunyi:

“Saya bukan suami terbaik atau lelaki sempurna. Tetapi saya cuba jadi yang terbaik demi keluarga kita... Insya-Allah.”

Dakwa Nelissa, dia tidak akan tunduk dengan ‘permainan’ dan penipuan dilakukan Ammar malah berharap tidak diganggu lagi.

Mengulas reaksi netizen yang mendakwa foto dimuat naik Ammar adalah gambar baharu, Nelissa menafikannya.

“Foto itu dirakam seminggu sebelum Ammar meninggalkan saya untuk bercuti. Gambar ini diabadikan sebagai kenangan buat anak. Ia dirakamkan sebelum Ammar dikesan saling membalas mesej dengan wanita lain,” dakwanya.

Nelissa berkata, semua foto dan video membabitkan mereka dimuat naik tanpa persetujuannya.

“Dia mahu dilihat kami seolah-olah sudah berbaik. Dia tidak menghormati saya. Kalau boleh, dia tidak mahu saya tenang sebelum melahirkan anak ini,” dakwanya lagi.

Mei lalu, melalui entri pada Instagram, Nelissa mendakwa, Ammar curang terhadapnya ketika dirinya hamil enam bulan.

Berita Harian X