Jumaat, 2 Ogos 2019 | 9:28pm
PENYANYI, Ryan Deedat dan Kanda Khairul, tidak sabar untuk menghiburkan peminat di Johor Bahru, esok. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Ryan Deedat, Kanda Khairul teruja nak jumpa peminat di JB

KUALA LUMPUR: Dua calon kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-32 (ABPBH 32), Ryan Deedat dan Kanda Khairul, teruja berpeluang menyertai siri jelajah acara itu buat kali pertama.

Bertolak dari Balai Berita, petang tadi, mereka menyertai rombongan penganjur untuk memeriahkan acara promosi terbabit di Komtar JBCC, Johor Bahru, esok.

“Walaupun baru peringkat pencalonan awal, ia memberikan makna dan impak besar ke atas kerjaya seni saya, sejak mula bergerak aktif lebih setahun lalu.

“Peminat juga begitu bersemangat mengundi. Malah, saya dapat tahu, ada peminat wanita dari Medan, Indonesia, yang sanggup melanggan akhbar digital BH semata-mata untuk mengundi saya.

“Saya juga tidak sabar untuk bertemu peminat di lokasi acara, esok. Ada peminat yang memaklumkan, mereka sudah menanti empat tahun untuk berjumpa saya dengan lebih dekat. Kebetulan, mereka menetap di Johor, jadi kami mungkin bertemu di sana nanti,” katanya yang dikenali dengan lagu Salima dan Propa.

Dalam perkembangan lain, Ryan bakal melancarkan single ketiga berjudul Jika Memang Harus ciptaan Aepul Drama Band, pertengahan bulan ini.

“Bagi single terbaru ini, saya memilih rentak balada kerana dua dua lagu pertama mempertaruhkan muzik dansa elektronik (EDM).

“Kiranya, saya cuba untuk beralih angin. Menerusi promosi awal di Instagram, ia mendapat reaksi positif,” kata Ryan atau nama sebenarnya Sheikh Eamir Deedat, 27.

Sementara itu, Kanda Khairul bagai tidak percaya apabila dirinya kini menjadi sebahagian daripada selebriti yang menjayakan siri jelajah acara anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan.

“Selama ini, saya hanya dapat memandang keseronokan artis berada dalam pencalonan ABPBH dan menyertai siri jelajah. Kini saya sendiri melaluinya pula.

“Lagu Atiqah Songket membawa tuah untuk saya berada pada fasa lebih baik. Ia membantu nama saya dikenali sejak kira-kira lapan bulan lalu. Malah, saya turut ditawarkan peluang berlakon.

“Saya memang tak sabar untuk sama-sama memeriahkan siri jelajah ABPBH 32, esok,” kata pemilik nama sebenar Khairul Fakhran Ahmad ini, yang turut giat menjayakan aktiviti ulasan makanan, perkhidmatan dan produk di laman sosial.


KANDA Khairul membantu Ryan Deedat memasukkan bagasi ke dalam bas ketika menyertai rombongan siri jelajah ABPBH 32 yang akan menemui peminat di Komtar JBCC, Johor Bahru, esok.

Selain dua penyanyi berkenaan, artis lain yang bakal menghangatkan suasana di Komtar JBCC ialah Emma Maembong, Ara Johari, Aiman Tino, Muna Shahirah, Haiza, DJ Lin, Afieq Shazwan, Luqman Faiz, Erwin Dawson, Tuah, Uchop, Adam Lee dan One Avenue Band.

Sebelum muncul di pentas utama menghiburkan peminat, mulai jam 2 petang, selebriti dan rombongan siri jelajah terlebih dahulu dijadualkan mengunjungi artis veteran, Aida Agil.

Di lokasi acara pula, penaja utama ABPBH 32, Alha Alfa Cosmetics membuka gerai bagi memberikan peluang kepada peminat melihat sendiri keunikan produk dipasarkan syarikat terbabit.

Pengasasnya, Datuk Alha Alfa, sendiri akan mengadakan tutorial solekan di pentas utama, pada jam 1 tengah hari.

Tidak ketinggalan, penaja bersama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), iaitu pengendali perkhidmatan pembayaran elektronik, DuitNow, membuka gerai bagi memperkenalkan produk yang menjadi medium peminat melanggan akhbar digital BH sempena promosi ABPBH 32.

Selepas Johor Bahru, siri jelajah ABPBH 32 akan singgah pula di Alor Setar, Kedah, pada 24 Ogos ini. Ia disusuli acara santai bersama kelab peminat, #FANtastik dan showcase istimewa di Eco Grandeur, Puncak Alam, pada 14 September depan.

Malam kemuncak ABPBH 32 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September.

Berita Harian X