Selasa, 6 Ogos 2019 | 1:00pm
Azhan teringat insiden lucu dilamar seorang pengusaha restoran yang mahu menjodohkan dirinya dengan seorang doktor, baru-baru ini. Foto NSTP Rohanis Shukri

Ada orang mahu jodohkan 'Ustaz Hamadi' dengan doktor

KUALA LUMPUR: Pelakon Azhan Rani mengaku pernah dihubungi seorang pengusaha restoran yang mahu menjodohkan dirinya dengan seorang doktor, baru-baru ini.

Mengaku terkejut dengan lamaran itu, Azhan, 43, bagaimanapun menolak hasrat itu cara baik dengan memberi alasan dirinya sudah berpunya.

“Saya tidak pasti dari mana wanita itu mendapat nombor telefon saya. Tiba-tiba saya menerima panggilan daripadanya yang mahu melamar saya untuk kenalan iaitu seorang wanita yang bekerja sebagai doktor.

“Wanita itu dakwa dia kenal saya kerana pernah makan di kedainya.

“Insiden itu berlaku ketika saya berada di lokasi penggambaran. Saya kuatkan audio telefon pintar supaya semua orang yang berada di sekeliling dapat mendengar cerita lucu itu.

“Saya tak anggap perkara itu serius. Tidak mahu cerita itu tak berpanjangan, saya beri alasan sudah ada seseorang,” katanya kepada BH Online.

Azhan yang cukup popular dengan watak Ustaz Hamadi dalam drama rantaian Nur dan Nur 2 menambah, dia tidak pernah menolak jodoh.

Cuma, katanya, ketika ini, tumpuannya lebih kepada menjaga ibunya yang sudah tua.

“Dua tahun lalu ketika mengerjakan umrah, saya pernah berdoa mengenai jodoh. Jika ia boleh membawa kebaikan, saya mohon supaya ia dipermudahkan.

“Jika yang berlaku adalah sebaliknya, saya reda hidup membujang. Mungkin Tuhan beri saya peluang untuk terus berbakti kepada ibu,” katanya.

Mengenai pelantikan dirinya, Noorkhiriah dan Azadan Rabbani sebagai Ikon Umrah De Hearty 2019, Azhan menyifatkan ia adalah antara doa yang dijawab Tuhan.

“Saya menyimpan hasrat untuk menunaikan umrah dan sudah pun mendaftar di sebuah agensi.

“Tiba-tiba datang pula tawaran yang mahu melantik saya menjadi ikon umrah. Syarikat ini mengajak saya menunaikan umrah, akhir tahun ini.

“Saya anggap ini adalah rezeki dan peluang untuk saya berehat dan mendekatkan diri kepada Allah,” katanya yang dicalonkan untuk dua kategori pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 iaitu Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon Watak Antagonis Popular melalui kategori online.

Berita Harian X