Ahad, 11 Ogos 2019 | 1:00pm
ARTIS pelbagai bakat, Zizan Razak. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Zizan bantu Lofa ke Tanah Suci

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zizan Razak, mengaku menghulurkan bantuan kepada Neelofa bagi menyelesaikan masalah visa ketika berangkat ke Tanah Suci, Rabu lalu.

Menurut Zizan atau nama sebenarnya Mohammad Razizan Abdul Razak, 35, selepas mendapat tahu pelakon dan pengacara itu berdepan masalah untuk ke Makkah, dia meminta selebriti terbabit menyerahkan dokumen berkaitan kepadanya.

"Lofa (Neelofa) menghantar mesej kepada saya, menyatakan dia tidak jadi ke Makkah. Saya terus ke agensi pengurusan haji, bersama niat cuba menyelesaikan masalahnya, dengan berjumpa beberapa kenalan di kedutaan Arab Saudi.

"Alhamdulillah, Allah mempermudahkan urusan berkenaan dan Lofa dapat menunaikan ibadat itu di sana," katanya kepada BH Online.

Kata Zizan, dia berbuat demikian bukan kerana riak, sebaliknya ikhlas membantu apabila melihat kesungguhan Neelofa untuk mengerjakan haji.

"Sebenarnya, saya juga ditawarkan menunaikan ibadat itu oleh Pusat Perunding Haji Furada (PPHF), namun terpaksa menolak kerana tidak sempat melakukan sebarang persiapan. Apatah lagi saya baru sahaja pulang dari Austria. Saya tidak mahu ke sana semata-mata nak mengejar gelaran Haji.

“Apabila mendapat tahu Lofa berdepan masalah visa, sebagai sahabat, sudah tentu saya mahu membantu. Saya bukan nak riak konon ada kenalan di kedutaan.

"Memandangkan saya tidak bersedia untuk ke sana, Lofa pula sudah membuat pelbagai persediaan sejak awal, saya rasa memang patut kita berusaha membantunya, apatah lagi dia mahu membuat perkara baik,” katanya sambil mengakui cukup lega dan puas apabila melihat teman seperjuangannya itu dapat menunaikan impian menyempurnakan Rukun Islam kelima.

Jumaat lalu, Zizan menerusi Insta Story Instagram miliknya memuat naik foto hadiah sejambak bunga yang diterima daripada Neelofa, dengan nota penghargaan dan rasa syukur kerana dihulurkan bantuan oleh pelakon itu saat berdepan masalah ketika mahu berangkat ke Tanah Suci Makkah.

Baru-baru ini, Neelofa bersama beberapa jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akibat masalah visa.

Sementara itu, mengulas pencalonannya dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Zizan akui persaingan amat sangat sengit.

Pada edisi kali ini, Zizan dicalonkan dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Penyanyi Lelaki Popular DuitNow, Artis Komedi Popular, Artis Versatil Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular.

"Persaingan ABPBH 32 semakin hebat dan mencabar. Artis pun semakin bagus dan berkualiti. Bagi saya, kemenangan biarlah diraih oleh mereka yang betul-betul layak. Kalau memang, tetapi tidak berbakat, tak seronok pula. Apatah lagi ABPBH anugerah berprestij.

“Kalau boleh, tentunya kita tidak mahu ada pertikaian terhadap kemenangan mana-mana calon, sehari selepas acara selesai. Sebaliknya, biar orang kata, artis itu benar-benar layak untuk menang kerana secara tidak langsung, ia menunjukkan pengundi bijak membuat penilaian," ujarnya.

Berita Harian X