Isnin, 12 Ogos 2019 | 1:00pm
ROSYAM masih aktif terbitkan drama biarpun sudah tidak lagi berminat melabur untuk menghasilkan filem. Foto Nurul Shafina Jemenon

Rosyam Nor hilang semangat terbit filem

PETALING JAYA: Penerbitan filem yang membabitkan kos tinggi, namun tidak menguntungkan membuatkan Datuk Rosyam Nor, lebih selesa memberikan fokus terhadap perniagaan runcit dan borong.

Kata pelakon dan penerbit itu, dia masih menerbitkan drama, tetapi belum ada perancangan untuk menghasilkan filem baharu menerusi syarikatnya, Suhan Movies & Trading.

“Saya sudah malas terbitkan filem. Ramai juga yang bertanyakan perkara itu. Bukan apa, kos mahal dan kerjanya juga renyah, tetapi tidak untung.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang, tidak berbaloi jika usaha saya tidak memberikan pulangan diharapkan. Lebih baik saya tumpukan perhatian kepada ST Rosyam Mart.

“Saya bagaimanapun, masih berlakon kerana lakonan sudah menjadi darah daging sejak zaman bujang lagi,” katanya selepas tayangan filem pendek, Warung Kami, baru-baru ini.

Naskhah berdurasi lapan minit itu diinspirasikan daripada perjalanan kisah hidupnya yang berdepan pelbagai dugaan ketika mula membuka perniagaan itu pada 1 Jun 2018.

Filem pendek yang disiarkan menerusi YouTube itu juga adalah idea bersama Pengarah Urusan Sri Ternak Group of Companies, Datuk Raymond Ho.

Warung Kami mengisahkan pengorbanan seorang bapa yang bergelut dengan masa dan bekerja keras demi memastikan kehidupan anak tunggalnya terjamin.

Rosyam sebelum ini, pernah menghasilkan filem aksi, Balistik yang mencatat kutipan RM2.3 juta.

Filem berikutnya, Castello meraih kutipan RM1.56 juta, disusuli Isyarat Cinta (RM800,000) dan Rempit Sampai Langit (RM411,000), dua tahun lalu.

4310 dibaca
Berita Harian X