Selasa, 13 Ogos 2019 | 1:00pm
WANN terharu masih menerima layanan istimewa selepas lebih 20 tahun mengikut suaminya berpindah ke Singapura. Foto Rosdan Wahid

Wann teringin rakam lagu baharu sebelum bersara

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 1990-an, Wann berhasrat merakamkan lagu baharu sebagai tanda kenangan, sebelum mengambil keputusan meninggalkan dunia nyanyian.

Wann yang menetap di Singapura, setahun selepas mendirikan rumah tangga dengan Mohamed Thazah Hamzah pada 1993 berkata, dia masih menerima tawaran menyanyi di negara itu, selain sesekali memenuhi undangan nyanyian di sini.

“Ramai yang menyangka saya sudah menyepi apabila tiada lagu baharu. Saya masih menyanyi, malah teringin menghasilkan lagu baharu, tetapi tiada tawaran.

“Jika boleh, sebelum bersara, saya mahu tampil dengan sebuah lagu istimewa. Saya mahu menghasilkan lagu rancak yang menyelitkan elemen moden, Latin atau cha cha.

“Saya tidak mahu lari daripada konsep lagu popular saya sebelum ini,” katanya yang teringin bekerjasama dengan komposer dan penyanyi, Faizal Tahir.

Penyanyi yang popular dengan lagu Bossanova, Lamunan Hati, Aku Dalam Teka Teki, Terlerai Kasih dan Joget Siapa Dia itu berkata, dia tidak menyangka masih diingati ramai, meskipun sudah lebih 20 tahun memperlahankan aktiviti nyanyian.

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu juga terharu apabila masih menerima layanan istimewa, setiap kali keluar menjalani urusan harian.

“Naik segan pula saya dibuatnya dengan layanan baik yang diberikan. Saya bukan lagi sesiapa, jauh sekali penyanyi popular.

“Terfikir juga apa istimewanya Wan Rashidah ini hingga orang melayan saya begitu baik?” katanya sambil ketawa.

Wann mengakui, pada mulanya agak sukar untuk dia menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu apabila mengambil keputusan mengikut suaminya yang berasal dari negara jiran.

“Tidak mudah menjalani hidup seperti orang biasa, apatah lagi saya mendirikan rumah tangga ketika nama masih di puncak.

“Saya segan apabila peminat di Singapura menegur ketika pergi ke pasar dan keluar berjalan-jalan,” katanya.

Penyanyi yang pernah merakamkan lebih 10 album solo itu mengakui, dia begitu rindu untuk bertemu peminat selepas lebih 20 tahun tidak muncul dengan persembahan istimewa.

Kerinduan itu bagaimanapun, terubat apabila dia ditawarkan menjayakan persembahan Makan Malam Live Bersama Wann anjuran Mareepoosa Creative & Event pada 7 September ini di Hotel The Pearl, di sini.

“Saya sering dihujani permintaan daripada peminat yang mahukan saya tampil dengan persembahan istimewa.

“Boleh dikatakan, ada sahaja yang bertanya apabila saya mula aktif di laman sosial. Kasihan pula pada peminat yang rindu mahu mendengar suara saya.

“Apabila seorang rakan lama mencadangkan saya tampil dengan persembahan istimewa, rasanya sudah sampai masanya saya kembali bertemu peminat di negara ini,” katanya yang mahukan konsep santai untuk lebih mesra dengan peminat.

4765 dibaca
Berita Harian X