Selasa, 13 Ogos 2019 | 5:00pm
FENDY mahu mempelbagaikan watak supaya kemampuannya sebagai pelakon menyerlah di mata penonton. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Fendy susun strategi untuk bertahan

KUALA LUMPUR: Anugerah atau pengiktirafan disifatkan Fendy Bakry hanya sebagai bonus kerana baginya, apa lebih penting adalah membuktikan kemampuan sebenar.

Justeru, pelakon yang mencipta nama menerusi drama Mr Grey berusaha mempelbagaikan karakter supaya khalayak dapat menilai kredibilitinya dalam bidang lakonan.

Pernah menjulang trofi Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, Fendy berkata, kejayaan itu menjadi pemacu untuk dia terus meneroka peluang sebagai pelakon.

“Saya tidak pernah puas mencari peluang, apatah lagi banyak watak yang belum dicuba memandangkan usia pembabitan saya masih hijau. Saya sentiasa mencari watak yang mampu mencabar diri.

“Sebelum ini, saya kerap diserahkan watak romantis dan tidak mahu selamanya terikat dengan karakter itu. Saya mahu keluar dari ruang selesa dan mencuba watak lain, terutama yang dekat dengan diri.

“Sekalipun diberikan watak budak kampung, saya tidak akan menolak. Sebenarnya, banyak yang boleh diteroka menerusi watak itu, tambahan pula ia dekat dengan jiwa memandangkan saya juga berasal dari kampung,” katanya.

Fendy yang menyambut ulang tahun ke-31, kelmarin bersyukur, rezekinya terus murah dengan pelbagai tawaran. Drama terbaru lakonannya, Ajari Playboy Itu kini bersiaran di TV3.

“Alhamdulillah, rezeki saya berterusan. Mungkin tidak banyak, tetapi sentiasa ada. Saya pula, setiap kali menerima tawaran akan memberikan 100 peratus komitmen.

“Saya fokus menjaga disiplin kerana tidak mahu menimbulkan masalah kepada produksi. Disebabkan itu, saya elakkan diri daripada menerima beberapa tawaran serentak untuk mengelak daripada keliru.

“Lakonan memerlukan ketelitian, membuatkan saya tertekan jika banyak karakter perlu dihadam serentak,” katanya.

Mengulas pencalonan awal ABPBH 32, Fendy yang bersaing menerusi kategori Pelakon TV Lelaki Popular Alha Alfa dan Gandingan Serasi Drama mengakui, saingan pada musim ini sangat sengit.

“Semua calon yang bersaing pada peringkat awal hebat dan popular. Ada di antara mereka saya anggap sebagai idola dan sumber rujukan dalam lakonan.

“Jika ditanya peluang membolosi Top 5, semua itu bergantung pada rezeki dan undian peminat. Alhamdulillah, saya mendapat sokongan padu daripada kelab peminat, Fendynisme.

“Menang atau kalah, apa yang lebih penting, saya masih mampu bertahan dalam industri hiburan. Itu matlamat utama saya kerana tidak mudah untuk kita kekalkan momentum,” katanya.

Berita Harian X