Khamis, 15 Ogos 2019 | 9:00am
ANDI kerap dihimpit kontroversi sejak mula mencipta nama, dua tahun lalu. Foto Nurul Shafina Jemenon

Ada sebab saya berubah - Andi Bernadee

KUALA LUMPUR: Populariti datang bersama ujian dan penyanyi yang mencipta nama menerusi lagu, Satu Peluang serta Donde, Andi Bernadee, tidak terkecuali berdepan dugaan ketika bakatnya mula menjadi sebutan.

Satu persatu kontroversi dan cerita panas menghimpitnya, sejak dua tahun lalu. Terbaru, penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah, itu dikatakan semakin besar kepala apabila sukar berurusan hingga ada pihak yang tersinggung dengan caranya.

Akur tidak mampu memuaskan hati semua pihak, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, 28, berkata kesibukan membuatkan dia terpaksa menghampakan sesetengah permintaan.

“Semua itu berlaku bersebab dan jika ada yang menganggap saya sudah berubah, mungkin ada kebenarannya. Tetapi, perubahan itu tidak bermakna saya berlagak atau lupa diri apabila sudah popular.

“Mereka kena faham, dahulu undangan persembahan tidak banyak, jadi saya boleh melayan setiap permintaan. Sekarang, keadaan sudah berubah kerana sejak enam bulan lalu, saya hanya pulang ke rumah untuk tidur.

“Setiap hari, saya terikat dengan tuntutan kerja. Ada masanya, saya terpaksa menolak beberapa permintaan kerana terlalu penat dan ingin berehat. Namun, keputusan itu membuatkan saya dituduh besar kepala pula,” jelasnya.

Andi juga akur, populariti datang bersama tanggungjawab dan dia harus berhati-hati menyusun langkah supaya nama baiknya tidak tercemar.

Dia bagaimanapun, terkilan apabila ada segelintir pihak seolah-olah cuba menjatuhkan reputasinya dengan isu yang memalukan.

Namun, kata Andi, dia sudah mula belajar permainan industri hiburan, meskipun ada ketika, terlalu penat kerana setiap tindak-tanduk dan gerak-gerinya diperhatikan.

“Saya jenis yang tidak pandai bermuka-muka dan berpura-pura. Apabila banyak kali terkena, ia membuatkan saya lebih berhati-hati. Tidak semua yang saya lalui indah untuk dikenang,” katanya.

Menyentuh soal teman wanita, penyanyi yang pernah tular dengan lagu saduran Tak Tun Tuang itu berkata, dia tidak mempunyai masa memikirkan soal hati.

“Bagaimana mahu mempunyai teman wanita jika masa untuk diri sendiri terbatas? Setakat berkawan memang ada, tetapi saya belum menemui gadis yang serasi.

“Saya juga manusia yang mempunyai hati dan perasaan, selain ingin merasai erti cinta serta dicintai. Saya bagaimanapun, harus memberikan fokus pada kerjaya terlebih dahulu. Saya mahu membina tapak yang kukuh demi masa depan.

“Cinta boleh hadir bila-bila masa jika kita membuka ruang. Saya berharap dapat bertemu jodoh sebelum usia mencecah 30 tahun,” katanya.

3519 dibaca
Berita Harian X