Khamis, 15 Ogos 2019 | 11:00am
PENYANYI yang popular dengan lagu Atiqah Songket, Kanda Khairul. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Mungkin ada pihak tak puas hati - Kanda Khairul

KUALA LUMPUR: Ketika namanya semakin dikenali, penyanyi Atiqah Songket, Kanda Khairul, berdepan ujian apabila akaun Instagramnya digodam.

Menyedari perkara itu beberapa hari lalu, Khairul mendakwa, dia dapat berasakan perbuatan terbabit dilakukan pihak kurang senang dengan perkembangan kerjaya seninya ketika ini.

“Sebenarnya, pelbagai ujian saya lalui sejak akhir-akhir ini, termasuk akaun Instagram digodam. Bukan hendak menuduh sebarangan, namun saya bagai dapat mengagak pihak yang bertanggungjawab atas perbuatan itu.

“Mungkin pihak berkenaan tidak berpuas hati dengan saya,” dakwa calon awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 32 itu kepada BH Online.

Tegas Khairul, dia memang aktif berkongsi gambar dan video di laman sosial itu.

“Namun, saya tidak pernah sekalipun memuat naik apa-apa subjek yang boleh mengundang tindakan tegas pihak Instagram,” katanya menepis andaian akaunnya disekat pengendali laman terbabit.

Pemilik nama penuh Khairul Fakhran Ahmad ini berkata, dia reda dengan kejadian itu.

“Ketika nama saya hendak meningkat naik, termasuk menjadi calon awal ABPBH 32, seolah-olah ada pihak mahu saya rebah ke bumi. Saya reda,” kata penyanyi ini yang dicalonkan dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular.

Undian pusingan awal ABPBH 32 berakhir tengah malam tadi dan keputusan calon Top 5 akan diumumkan esok.

Mengakui kehilangan sebahagian pendapatan apabila dia turut menggunakan laman sosial itu untuk tujuan ulasan produk, Khairul bagaimanapun bersyukur masih ada rezeki untuknya menerusi alternatif lain.

“Saya kini menggunakan aplikasi Bigo untuk meneruskan perkongsian dan memacu kerjaya seni,” katanya sambil memaklumkan turut mendapatkan bantuan teman yang pakar dalam teknologi berkaitan bagi mendapatkan kembali akaun Instagramnya itu.

Berita Harian X