Khamis, 15 Ogos 2019 | 5:40pm
NOURUL menasihatkan wanita supaya sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan bagi mencegah penyakit tidak diingini. Foto IG Nourul Depp

Nourul selamat jalani pembedahan buang sel abnormal

KUALA LUMPUR: Penyanyi Nourul Wahab, 42, selamat menjalani pembedahan kecil bagi membuang sel abnormal pada bahagian serviks di sebuah perubatan, di sini, semalam.

Nourul atau nama penuhnya Noorul Huda Abdul Wahab berkata, dia mendapat tahu mengenai kehadiran sel itu selepas menjalani pemeriksaan pap smear, tahun lalu.

“Ketika mendapat tahu mengenainya, saya sedang mengandung. Jadi, saya hanya menjalani prosedur biopsi, bimbang juga jika berlaku apa-apa terhadap kandungan.

“Selepas melahirkan anak dan selesai berpantang, saya tidak mahu bertangguh lagi. Ia hanya pembedahan kecil dan tidak mengambil masa lama. Alhamdulillah, proses pembedahan berjalan lancar,” katanya.

Nourul turut menasihatkan kepada wanita, terutama yang sudah mendirikan rumah tangga supaya menjalani ujian pap smear, setahun sekali sebagai langkah berjaga-jaga.

Kata penyanyi lagu Kerana Terluka itu, ujian itu sekurang-kurangnya dapat mengesan tanda penyakit lebih awal, sekali gus mencegah daripada berlarutan hingga mengancam nyawa.

“Dalam dua minit sahaja kita tidak selesa, tetapi keputusan ujian itu mampu menyelamatkan nyawa kita. Saya buat ujian setiap tahun, mujur kehadiran sel tidak normal itu dapat dikesan awal.

“Lagipun, keluarga memang ada sejarah ketumbuhan dan juga kanser. Minta sangat dijauhi daripada penyakit yang tidak diingini,” katanya.

Terdahulu, Nourul pernah menjalani pembedahan kecil bagi membuang ketulan pada peha kanannya, tiga tahun lalu.

Berita Harian X