Sabtu, 17 Ogos 2019 | 9:00am
PENYANYI, Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah pada sidang media pengumuman Top 5 ABPBH 32 di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Salahkah kami berkawan? - Dayang Nurfaizah

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Dayang Nurfaizah, 38, menegaskan tiada sebab untuk dia mencipta isu konon menjalinkan hubungan dengan teman duet, Hael Husaini.

Dayang atau nama penuhnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty berkata, ia tercetus berikutan keserasian yang wujud antara mereka sehingga peminat mengharapkan sesuatu berputik daripada persahabatan terbabit.

"Peminat sering salah sangka apabila kami mengadakan persembahan bersama, apatah lagi dengan kemunculan lagu duet, Haram. Tidak bolehkah kami berkawan?

"Sebenarnya, saya tidak pun menganggapnya sebagai kontroversi. Lebih-lebih lagi, bukan saya yang mencetuskan perkara ini. Ia (isu bercinta) terjadi dengan sendiri, bukan dibuat-buat," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman Top 5 Anugerah Bintang Popular BH Ke-32 (ABPBH 32) di Tamu Hotel & Suites, di sini.

Dayang berkata demikian apabila ditanya mengenai desas-desus kisah percintaan antaranya dengan Hael sengaja dibangkitkan bagi meraih perhatian peminat.

Magis keserasian pasangan berkenaan terbukti apabila lagu dendangan mereka, Haram, dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL 33), Februari lalu.

Keserasian yang ditonjolkan mereka turut mencetuskan tanda pagar #HaelYang, iaitu cantuman nama kedua-duanya.

Sementara itu, bercakap mengenai kejayaan mereka membolosi senarai akhir kategori Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular ABPBH 32, Dayang bersyukur apabila namanya masih mendapat sokongan ketika dunia hiburan dikuasai bakat muda.


DAYANG Nurfaizah ketika membuat persembahan pada sidang media Top 5 ABPBH 32 di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur. - NSTP/Syakirah Azhar

Katanya, persaingan artis baharu dan lama dalam senarai Top 5 pastinya menghangatkan lagi kempen acara terbabit yang akan mencapai kemuncaknya pada 22 September depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

"Syukur lagu Haram mendapat sambutan hangat dan bagi saya, ia perkara yang luar biasa.

"Pencalonan pada ABPBH 32 menjadi penghargaan besar buat saya, apatah lagi persaingannya juga agak sengit. Saya sendiri tidak pernah berasakan sudah berada pada tahap yang berbeza,” katanya.

4651 dibaca
Berita Harian X