Ahad, 18 Ogos 2019 | 9:00am
CALON Top 5 kategori Penyanyi Wanita Popular DuitNow ABPBH 32, Aishah. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

ABPBH 32: Aishah ingat kena 'prank'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aishah, 54, mengaku bimbang andai ada pihak sengaja hendak ‘mengenakan’ dirinya apabila diundang ke majlis pengumuman Top 5 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32.

Aishah yang popular dengan lagu Janji Manismu berkata, sukar untuknya percaya apabila namanya turut melekat dalam senarai akhir kategori Penyanyi Wanita Popular DuitNow pada edisi terbaru anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu.

“Susah untuk percaya berita gembira berkenaan, saya sempat bertanya kepada beberapa kenalan selebriti, sama ada kehadiran saya ke majlis pengumuman Top 5 ABPBH 32 sekadar ‘prank’.

“Jujurnya, saya memang tidak menyangka untuk dicalonkan dalam kategori terbabit, bersaing pula dengan artis jauh lebih muda. Namun, saya ambil peluang ini sebaik-baiknya. Ia boleh dianggap sebagai rezeki untuk mengembangkan lagi kerjaya seni,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media pengumuman calon akhir ABPBH 32 di Tamu Hotel & Suites, di sini.

Mengenai undian diterimanya, Aishah yang muncul dengan single Malar pada tahun lalu itu berkata, ia mungkin juga daripada golongan peminat lebih muda.

“Peminat dan penyokong daripada lingkungan umur saya mungkin tidak banyak mengundi kerana ia membabitkan teknologi terkini. Namun, ada kemungkinan golongan peminat generasi baharu turut memberikan sokongan apabila kehadiran saya dalam seni mendapat pendedahan di media.

“Terima kasih kepada penganjur, BH, kerana memberikan ruang kepada penyanyi lama seperti saya untuk terus berkarya.

“Kita sedar, peluang untuk orang lama meneruskan perjuangan dalam seni agak terbatas. Jadi, seharusnya kita berikanlah ruang dan platform untuk artis berkenaan berbuat demikian,” katanya kepada BH Online.

Digelar ‘The Living Legend’, Aishah dicalonkan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular DuitNow bersama-sama Bintang Paling Popular ABPBH 31, Wany Hasrita; Siti Nordiana; Ara Johari; dan Stacy.

Undian Top 5 ABPBH 32 akan bermula Selasa ini sehingga 15 September depan dan keputusan pemenang pula akan diumumkan pada malam kemuncak yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 22 September.

Berita Harian X