Ahad, 18 Ogos 2019 | 4:12pm
GAMBAR arwah Abe Jali bersama anak sulungnya, Nur Atiqah Idris. NSTP/Ihsan Nur Atiqah

Tiada pelawak, pengacara seperti Abe Jali

Gambar: ihsan pembaca

KOTA BHARU: Kepetahan berkata-kata dan kebolehan membuat lawak secara spontan antara peribadi pelakon dan pelawak, Abe Jali Salam Pantai Timur yang menjadi kelebihan sepanjang bergelar anak seni.

Justeru, pemergian Abe Jali atau nama sebenar Mohd Idris Berahim, 58, pada jam 4 pagi tadi, memberi kesan buat rakan seperjuangan terutamanya dalam dunia seni dikir barat dan bidang pengacaraan selain kehilangan besar dalam industri hiburan khususnya di negeri ini.

Pendikir barat Kelantan, Mohamad Afandi Mohamad, 35, atau lebih dikenali dengan nama pentas Fendi Kenali, berkata pemergian arwah ditangisi penggiat seni.

Katanya, beliau sememangnya rapat dengan Abe Jali yang dikenali sejak tahun 2000 dan arwah banyak membantu pendikir Kelantan terutamanya pada 2005 ketika beliau terkenal di stesen televisyen melalui sitkom dialek Kelantan, Salam Pantai Timur.

“Melalui popularitinya, arwah banyak membantu pendikir membuat konsert termasuk memperkenalkan konsert bertiket dan muncul di kaca televisyen.

“Sepanjang beliau sakit, arwah sempat terima bantuan rumah bagi menghargai sumbangan beliau sebagai anak seni,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagi artis dan juga pengacara majlis, Mohd Izuan Azra Baharun, 32, pemergian Abe Jali sukar diganti apatah lagi dalam bidang pengacaraan kerana arwah sudah mengacara banyak program sejak terbabit dalam industri hiburan.

Katanya, dia sendiri menjadikan Abe Jali sebagai idola kerana mampu membuat lawak jenaka dan bercakap secara spontan tanpa skrip.

“Apatah lagi kita pernah bergelak ketawa dengan telatah beliau melalui sitkom Salam Pantai Timur dan kemudiannya dikejutkan dengan berita dia menderita sakit dan hari ini beliau sudah meninggal dunia, ia satu kehilangan besar dalam dunia seni,” katanya.

Abe Jali meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.

Allahyarham dimasukkan ke HRPZ II Jumaat lalu selepas diserang angin ahmar buat kali kedua sebelum kali pertama diserang penyakit itu tahun 2017 sehingga ingatannya merosot selain kaki kanan dipotong sehingga paras lutut akibat kencing manis pada Julai tahun yang sama.

3087 dibaca
Berita Harian X