Isnin, 19 Ogos 2019 | 1:00pm
MESKIPUN dibarisi nama popular, Erma menegaskan, pelakon teater Pawana Isabella tidak menuntut bayaran di luar jangkaan. Foto Intan Nur Elliana Zakaria

'Mana saya mampu bayar semahal itu'

KUALA LUMPUR: Pengarah terkenal, Erma Fatima menafikan dakwaan pelakon teater terbaru garapannya, Pawana Isabella menerima bayaran mencecah RM160,000 seperti yang tersebar, baru-baru ini.

Menurut Erma, walaupun mengambil nama popular sebagai pelakon utama, bayaran yang diterima mereka berpatutan dan bukan seperti yang digembar-gemburkan warganet.

"Saya terkejut apabila tersebar cerita mengatakan, ada pelakon teater dibayar sehingga RM160,000. Kalau ia mengaitkan produksi saya, cerita itu tidak benar sama sekali.

“Walaupun ramai pelakon popular dalam teater ini, mereka tidak pernah bersikap 'demanding' dengan menuntut bayaran yang tinggi. Lagipun, mana saya mampu bayar mereka sebanyak itu?,” katanya.

Ditanya adakah dakwaan itu timbul gara-gara pembabitan Johan yang sering dikaitkan dengan bayaran tinggi, Erma menyangkal spekulasi itu.

“Soal bayaran, kami sangat profesional. Seperti pelakon lain, ganjaran yang diberikan setimpal dengan hasil kerja dan komitmennya.

“Sudah lama saya ingin menawarkan dia berlakon dalam teater saya, tetapi baru sekarang hasrat itu tercapai. Pada awalnya, saya tidak yakin Johan menerima kerana watak itu tidak memerlukan dia berlawak dan dilarang menambah dialog sendiri.

“Selepas beberapa hari berlatih, saya puas hati dengan apa yang diberikan,” kata pengarah yang terkenal dengan watak Mak Cun itu.

Pawana Isabella menyaksikan gandingan hebat finalis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Syafiq Kyle dan Janna Nick sebagai pelakon utama.

Ia bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya mulai 21 Ogos ini selama 11 hari.

61616 dibaca
Berita Harian X