Selasa, 20 Ogos 2019 | 2:46pm
KUALA LUMPUR 19 OGOS 2019. Pelakon, Fikry Ibrahim pada sesi ramah mesra drama Kau Yang Pertama di Rustic Hall, Skyark Event Space, Taman Wahyu. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN.

Sentuh pelakon wanita, Fikry sedih keluarga dikecam

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fikry Ibrahim, 25, kesal apabila keluarganya turut menjadi mangsa kecaman warganet gara-gara tindakannya melanggar prinsip tidak mahu bersentuhan dengan pelakon wanita bukan mahram.

Katanya, dia tidak kisah andai dirinya sahaja yang ‘diserang’ pihak berkenaan berikutan babak bersentuhan dengan pelakon, Tasha Shilla, dalam drama Kau Yang Pertama, yang kini menemui penonton TV3.

“Saya memang agak kecewa dan sedih apabila warganet ‘menyerang’ keluarga saya. Jika hendak kecam sekalipun, cukuplah setakat saya yang menjadi mangsa.

“Kenapa mereka perlu mengaitkan ibu saya sekali? Kalau ibu terbaca komen sedemikian, tentunya dia berasa sedih,” kata Fikry kepada BH Online ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama pelakon drama berkenaan, di sini.

Fikry pernah mendapat pujian peminat apabila memegang prinsip enggan menjayakan babak bersentuhan dengan pelakon wanita dalam drama lakonannya.

Begitupun, menerusi naskhah terbaru arahan Hadith Omar siaran slot Akasia, menerusi beberapa babak, pelakon terbabit dilihat memegang Tasha yang berlakon sebagai tunangnya.

Cuba menjelaskan perkara itu, tegas Fikry, kenyataan diberikan olehnya berhubung perkara terbabit sebelum ini disalah erti.

“Saya pernah menyatakan, saya takkan memuat naik gambar wanita tak bertudung di laman sosial dan cuba untuk tidak bersentuhan dengan pelakon perempuan.

“Saya tahu, soal bersentuhan dengan pelakon wanita agak sensitif. Namun, saya anggap ia sebagai ujian yang akan mematangkan diri. Saya menerima komen warganet dengan berlapang dada. Apabila masing-masing memberikan perhatian, ia bermakna mereka pedulikan saya,” katanya sambil memohon maaf andai kenyataannya berhubung perkara itu menyinggung mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Fikry memaklumkan sudah lama tidak memuat naik gambar wanita tidak bertudung di laman sosial.

“Sejak awal lagi, memang saya tidak memuat naik gambar perempuan tidak bertudung. Ibu saya turut memantau akaun Instagram milik saya dan saudara mara lain,” katanya.

5395 dibaca
Berita Harian X