Selasa, 20 Ogos 2019 | 7:00pm
PENYANYI, Afgan, ketika hadir pada sidang media Konsert Inspirasi Afgan Live in Kuala Lumpur 2019 di Taman Tun Dr Ismail. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Afgan berehat panjang selepas konsert di KL

KUALA LUMPUR: Konsert Inspirasi Afgan Live in Kuala Lumpur (KL) 2019 pada 5 Oktober depan menjadi persembahan berskala mega terakhir penyanyi terkenal Indonesia itu sebelum berehat panjang.

Menurut Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, 30, keputusan itu turut diambil bagi membolehkannya memberikan tumpuan terhadap pembikinan album terbaru yang bakal dihasilkan di Amerika Syarikat (AS).

“Sejak menceburkan diri dalam bidang seni, sedekad lalu, saya sangat sibuk dengan kerja studio, persembahan dan konsert, di dalam mahupun luar negara. Contohnya, saban tahun konsert saya dianjurkan di sini. Justeru, saya mengambil keputusan untuk berehat sehingga pertengahan 2020.

“Bulan depan, saya akan terbang ke San Francisco bagi menyiapkan album terbaru yang memuatkan karya berbahasa Inggeris. Jika saya tidak berehat sekarang, mana mungkin album ini dapat disiapkan?

“Bagaimanapun, peminat tidak perlu bimbang kerana saya bukan menetap terus di AS. Sekali-sekala, saya tetap akan pulang ke Indonesia,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis sidang media pengumuman konsertnya, di sini, hari ini.

Mengulas pembikinan album terkini, penyanyi yang popular dengan lagu Terima Kasih Cinta itu berkata, ia ibarat serampang dua mata.

“Sudah lama saya menyimpan impian untuk menghasilkan album Inggeris dan menerusi produk terbaru ini, saya bertuah apabila mendapat kerjasama daripada komposer di sana.

“Saya juga tentunya berharap album terbabit menjadi batu loncatan untuk mencari tapak di AS, selain mencabar diri keluar dari zon selesa,” kata calon Top 5 kategori Artis Indonesia Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 32 ini.

Konsert Afgan di Pusat Konvensyen HGH itu turut menampilkan idolanya, Datuk Sheila Majid, sebagai artis undangan.

Tiket berharga RM299 hingga RM1,200 boleh didapati dengan melayari laman web www.proticket.com.my.

810 dibaca
Berita Harian X