Rabu, 21 Ogos 2019 | 1:55pm
PENYAMPAI Geng Pagi Hot, Shuk, Shuib dan Fizie ketika menyertai ekspedisi menunggang motosikal sempena kempen menyemarakkan Hari Kebangsaan 2019. - Foto ihsan Hot FM

Fizie, pendengar Hot FM semarakkan kempen Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Penyampai Hot FM, Fizie, teruja dapat menyertai menyertai ekspedisi menunggang motosikal sempena kempen menyemarakkan Hari Kebangsaan 2019.

Bersama dua lagi teman penyampai Geng Pagi Hot, Shuk dan Shuib, serta lebih 80 pendengar radio berkenaan, mereka mengembara lebih 200 kilometer dari Sri Pentas, Bandar Utama, ke Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

“Ia bukan pengalaman pertama saya menunggang motosikal. Cuma, ekspedisi kali ini antara yang santai dan ‘sopan’ pernah saya ikuti. Lebih istimewa, kami menjayakannya bersama pendengar Hot FM, sekali gus menyemarakkan semangat merdeka.

“Menerusi acara terbabit juga, kami dapat belajar beberapa perkara daripada pihak Jabatan Pengangkutan (JPJ), termasuk etika dan hal keselamatan yang perlu dititikberatkan ketika memandu atau menunggang di jalan raya,” katanya.

Mendapat sokongan JPH Putrajaya, Ekspedisi GPH Merdeka Ride 2019 itu diadakan bagi memupuk semangat kemerdekaan sesama penyampai radio dan pendengar.


SEBAHAGIAN peserta yang menjayakan Ekspedisi GPH Merdeka Ride 2019, baru-baru ini.

Sementara itu, ditanya mengenai kerjayanya sebagai penyampai, Fizie atau Mohamad Hafizie Roslan, 31, akui tidak pernah selesa dengan pencapaiannya selepas lapan tahun bersama stesen berkenaan.

“Di Hot FM, saya terus meneroka peluang untuk mengembangkan bakat dan kerjaya.

“Jika mudah berasa selesa dalam sesuatu perkara, ia membuatkan kita tidak mempunyai inisiatif untuk maju ke depan. Ia turut menghalang seseorang daripada berjiwa inovatif dalam kerjaya,” katanya.

Berita Harian X