Rabu, 21 Ogos 2019 | 4:33pm
ALIF bangga dengan tindakan Mark Adam yang merendah diri dan memohon maaf atas kesilapannya. Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Alif segan dipanggil hero

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pengacara, Alif Satar memuji tindakan Mark Adam yang merendah diri memohon maaf dan mengakui kesilapannya terlanjur kata ketika menjadi juri jemputan program realiti, Big Stage, Ahad lalu.

Alif juga berharap, isu yang berlaku antara penyanyi itu dan gandingannya dalam program realiti itu, Shery Alhadad tidak lagi diperbesarkan kerana semuanya sudah selesai dengan baik.

“Kedua-dua mereka ialah rakan baik dan saya yakin, Mark tidak berniat mengguris perasaan Sherry dengan gurauannya itu. Ia hanya gurauan sesama rakan, tetapi apabila dilakukan ketika siaran langsung, ramai salah faham.

“Saya puji tindakan Mark yang pantas mengakui kesilapannya. Sesiapa sahaja yang berada pada kedudukan saya, pasti akan melakukan perkara yang sama,” katanya.

Alif atau nama lengkapnya, Muhammad Alif Mohd Satar berkata, insiden yang berlaku seharusnya dijadikan pengajaran kerana sebagai manusia, tiada siapa yang terlepas daripada melakukan kesilapan.

Namun, sebagai pengacara, Alif berkata, dia perlu bertindak secara profesional untuk meredakan situasi, terutama apabila membabitkan gurauan yang mempersenda fizikal orang lain.

“Saya segan apabila ramai yang memuji dan menganggap saya sebagai hero serta penyelamat keadaan. Saya hanya menjalankan tanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan kerana apa sahaja boleh berlaku ketika bersiaran secara langsung.

“Lagipun, Mark dan Sherry sudah menyelesaikan perkara itu dengan baik. Sherry ada memaklumkan kepada saya, Mark sudah menghubunginya untuk meminta maaf.

“Saya yakin Sherry juga tidak menyimpan perkara itu dalam hati,” katanya ketika ditemui pada majlis memperbaharui kontrak sebagai duta Alicafe Power Root, semalam.

Mengulas pencalonannya dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Alif bersyukur apabila kembali bersaing dalam kategori Pengacara TV Popular, Artis Versatil Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.

Penyanyi yang muncul dengan single terbaru, I Want You To Love Me diangkat sebagai Artis Versatil Popular pada edisi ABPBH lalu.

2636 dibaca
Berita Harian X