Khamis, 22 Ogos 2019 | 11:00am
IRFAN berdepan masalah batuk berpanjangan sejak sebulan lalu. Foto Nurul Shafina Jemenon

Irfan Haris tetap bertanding biarpun sakit

KUALA LUMPUR: Biarpun bertarung masalah kesihatan, penyanyi yang popular dengan lagu Pesan, Irfan Haris tetap bertekad teruskan perjuangan dalam program nyanyian, Big Stage musim kedua.

Irfan yang mengalami batuk berpanjangan sejak sebulan lalu, berkata doktor masih belum dapat mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapinya.

Namun, dia yang menetap di Johor Bahru tetap gagahkan diri kembali ke ibu negara untuk menghadiri sesi latihan sebelum bertanding pada konsert kedua, Ahad ini.

“Saya dimasukkan ke hospital, Isnin lalu bagi mendapatkan bantuan pernafasan. Batuk saya berlarutan sejak sebulan lalu, namun tetap tidak pulih, biarpun puas saya berpantang.

“Saya sudah maklumkan kepada pihak produksi masalah yang dihadapi, namun perjuangan perlu diteruskan kerana ini adalah tanggungjawab.

“ Berdasarkan laporan doktor, paru-paru saya dipenuhi kahak dan ia menjadi antara punca batuk saya berpanjangan. Tidak dinafikan, tubuh saya masih lemah dan belum pulih sepenuhnya.

“Saya berterima kasih kepada peminat yang mendoakan kesihatan saya kembali pulih. Alhamdulillah, tidak pula saya menerima komen negatif dan tidak dianggap sengaja meraih simpati apabila berkongsi keadaan kesihatan,” katanya.

Terdahulu, kakak Irfan iaitu penyanyi, Amira Othman menerusi Instagram, kelmarin meminta orang ramai mendoakan kesihatan adiknya dan berharap dia segera pulih untuk kembali bersaing di pentas Big Stage.

“Saya perlu menjalani latihan konsert kedua dan berusaha memberikan yang terbaik, biarpun terpaksa melawan sakit.

“Saya hanya ada tiga hari untuk berlatih, risau juga memikirkan hari pertandingan memandangkan saya sudah banyak ketinggalan berbanding rakan seperjuangan lain.

“Sihat atau tidak, saya harus melaksanakan juga tanggungjawab. Ini adalah pertandingan dan saya perlu membuktikan kemampuan,” kata Irfan.

1494 dibaca
Berita Harian X