Sabtu, 24 Ogos 2019 | 8:50pm

Impian nyanyi dengan peminat tercapai

ALOR SETAR: Hasrat penyanyi, Siti Nordiana, untuk berduet dengan peminat pada siri jelajah Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 di Aman Central, di sini, hari ini, menjadi nyata.

Lebih menggembirakan Siti Nordiana atau Nana, dia dapat berbuat demikian dengan dua peminat yang mempunyai mutu vokal terpuji.

Bersama peminat lelaki, Nana menyampaikan lagu Gurauan Berkasih, manakala dengan peminat perempuan pula penyanyi itu mempersembahkan Terus Mencintaimu.

Kata Nana, dia mahu meninggalkan kenangan terindah untuk peminat yang mungkin tidak selalu dapat berjumpa dengannya.

"Nana jarang bertemu peminat di luar Kuala Lumpur. Jadi, apabila ada peluang, Nana teringin juga menyanyi bersama mereka.

"Alhamdulillah, tercapai juga hasrat Nana untuk menghiburkan peminat di sini dan semoga ia menjadi kenangan paling manis buat mereka,” katanya kepada BH Online.

Nana menjadi artis terakhir muncul membuat persembahan, sekali gus menutup tirai siri jelajah ABPBH 32 bagi zon utara.

Bintang yang popular dengan lagu Hatiku Milikmu itu tersenarai sebagai calon Top 5 bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa, Penyanyi Wanita Popular DuitNow, Pengacara TV Popular, Artis Versatil Popular, Gandingan Serasi Drama Popular dan Lagu Paling Boom.

PENYANYI, Afieq Shazwan, mengadakan persembahan pada siri jelajah ABPBH 32 di Aman Central Alor Setar. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Selain Nana, acara promosi berkenaan turut dimeriahkan kemunculan calon Top 5 lain iaitu Delimawati, DJ Lin, Ryan Deedat, Atiq Azman, Afieq Shazwan, Adam Lee dan Insomniacks.

RYAN Deedat tidak ketinggalan menghiburkan peminat pada siri jelajah ABPBH 32 di Aman Central Alor Setar. - NSTP/Eizari Shamsudin

PERSEMBAHAN Insomniacks pada siri jelajah ABPBH 32 di Aman central Alor Setar, Kedah. - NSTP/Aziah Azmee
PENAJA utama ABPBH 32, Datuk Alha Alfa dan Pengarang Hiburan BH merangkap Timbalan Pengerusi ABPBH 32, Shamshul Azree Samshir, bersama barisan artis yang menjayakan siri jelajah kedua anugerah berkenaan di Aman Central, Alor Setar, Kedah. - NSTP/Aziah Azmee
SITI Nordiana membuat persembahan bersama peminat ketika siri jelajah ABPBH 32 di Aman Central, Alor Setar, Kedah. - NSTP/Aziah Azmee
Berita Harian X