Jumaat, 30 Ogos 2019 | 4:00pm
PELAKON, Sharnaaz Ahmad, pada majlis tayangan perdana filem lakonannya, Wangi, di Mutiara Damansara. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Sharnaaz elak guris hati sesiapa

PETALING JAYA: Pelakon, Sharnaaz Ahmad, 34, menyifatkan gosip mengatakan isterinya, Noor Nabila Mohd Noor, memfailkan perceraian seperti dilaporkan sebuah portal hiburan, semalam, hanya bersifat andaian.

Kata Sharnaaz juga, dia belum bersedia untuk mengulas perkara berkenaan kerana tidak mahu kenyataannya mengguris hati mana-mana pihak.

"Lagipun, saya tidak berani hendak bercakap banyak mengenainya kerana takut ia boleh memudaratkan lagi keadaan. Saya sedar, saya banyak bercakap apabila perkara sebegini berlaku.

"Perkara ini membabitkan keluarga. Saya tidak mahu kenyataan saya nanti merosakkan hubungan kedua-dua keluarga dan anak," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis tayangan filem terbaru lakonannya, Wangi, di sini, malam tadi.

Dalam temubual itu juga, bintang Juvana ini sempat mengucapkan selamat hari lahir buat anak lelakinya, Jebat Jayden, yang berusia setahun, hari ini.

Lebih mengujakan Sharnaaz, dia berkongsi tarikh hari lahir sama dengan permata hatinya itu.

Desas-desus mengatakan Noor Nabila memfailkan perceraian timbul selepas wanita itu memuat naik foto sebuah lokasi yang dipercayai Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta.

Perkongsian dibuatnya itu, baru-baru ini, seperti memberikan bayangan rumah tangga mereka yang dibina pada 31 Mac 2017 dilanda badai.

Semalam, menerusi laporan BH Online, Sharnaaz berkata, walau apa sahaja yang berlaku, Jebat akan tetap berada dalam hatinya sehinggalah dia menutup mata.

Sementara itu, Wangi yang akan menemui penonton di pawagam pada 5 September ini menyaksikan Sharnaaz berlakon di sisi dua Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia, iaitu Erra Fazira dan Nabila Huda.

Filem bercorak seram dan cemas itu berkisar pada watak Nor lakonan Erra yang kembali ke Malaysia kerana melahirkan anak kedua. Dia kemudian menyedari kehilangan adik angkatnya, Bella (Nabila) yang penuh misteri.

Selain mereka, filem arahan Yeop Hitler itu turut dibintangi Mia Nasir, Syazwan Zulkifly, Nik Adam Mika dan Ruminah Sidek.

2657 dibaca
Berita Harian X