X
Isnin, 2 September 2019 | 1:00pm
DAYANG enggan bersandar pada gosip cinta untuk pertahan nama. Foto Syakirah Azhar
DAYANG enggan bersandar pada gosip cinta untuk pertahan nama. Foto Syakirah Azhar

'Saya tak perlu gimik untuk kekal relevan'

KUALA LUMPUR: Kekerapan Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini mempamerkan kemesraan di laman sosial mencetuskan andaian nakal, mereka sengaja menjual kisah cinta sebagai strategi meraih perhatian peminat.

Apatah lagi, media sosial kini menjadi senjata utama selebriti untuk kekal relevan dalam industri hiburan.

Perkongsian mengenai kisah peribadi, sedikit sebanyak mampu menarik perhatian ramai untuk terus mengikuti perkembangan mereka.

Mengulas perkara itu, Dayang berkata, pada usia 38 tahun, dia tidak perlu lagi bersandar kepada gosip cinta untuk terus mempertahankan nama.

Malah, selepas dua dekad bertapak, Dayang berkata, dia tidak memerlukan lagi gimik seperti itu untuk kekal relevan.

“Dahulu, saya dianggap bercinta dengan Anuar Zain apabila kami sering bekerjasama, sekarang dengan Hael pula. Apa sahaja persepsi peminat terhadap saya dan Hael, ia tidak sesekali menjarakkan hubungan kami.

“Kami tetap bersahabat dan turut merancang penghasilan lagu duet seterusnya. Saya akui, Hael antara rakan duet yang serasi dan terbaik buat saya, selain Anuar,” katanya.

Penyanyi Sebentar itu berkata, perasaan cinta tidak pernah berputik di hati mereka, meskipun dia selesa mendampingi Hael yang dianggap begitu memahami dirinya.

“Kami mula serasi ketika Hael menghasilkan lagu Dia yang dimuatkan dalam album saya yang terdahulu. Saya melihat Hael sebagai penyanyi dan komposer yang berbakat besar.

“Namun, untuk bercinta, mungkin iya, mungkin juga tidak. Sebagai manusia, saya tidak mampu menolak ketentuan jodoh. Saya masih menanti kehadiran jodoh yang terbaik, tetapi tidak terdesak mencarinya,” katanya.

Gandingan Dayang dan Hael menerusi Haram sebelum ini, menobatkan mereka sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-33, Februari lalu.

Ditanya tanggapan segelintir pihak yang menyifatkan Hael seolah-olah seperti cuba menumpang popularitinya, Dayang berkata, isu itu tidak sewajarnya dibangkitkan kerana penyanyi terbabit sudah mempunyai tempat yang tersendiri di hati peminat.

“Hael sudah popular sebelum memilih saya sebagai rakan duet. Dia juga pernah muncul juara AJL sebelum kami mempertandingkan Haram. Apa alasannya Hael dikatakan menumpang populariti saya?

“Saya sebenarnya yang bertuah apabila dia memilih saya sebagai rakan duet hingga Haram mencipta kejayaan luar biasa,” kata penyanyi Di Pintu Syurga itu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X