Rabu, 4 September 2019 | 1:00pm
DELIMAWATI sering menerima tawaran membawa watak hantu impak populariti karakter Kak Limah. Foto Nurul Shafina Jemenon

Tak naklah asyik jadi hantu - Delimawati

KUALA LUMPUR: Cukup dalam Hantu Kak Limah! Itu pendirian pelakon, Delimawati Ismail ketika ditanya kemungkinan membawakan watak hantu lain selepas meledak dengan siri filem seram komedi arahan Mamat Khalid itu.

Katanya, bukan tiada tawaran untuknya memainkan watak hantu berbeza, namun wanita kelahiran Kuala Kangsar, Perak berusia 61 tahun ini menolak permintaan itu.

Baginya, watak itu hanya eksklusif untuk siri Kak Limah, malah impak karakter itu begitu kuat hingga namanya menjadi sebutan dalam kalangan peminat cilik dan dewasa.

“Saya dipilih menjadi antara teraju utama Hantu Kak Limah Balik Rumah ketika usia 53 tahun. Siapa sangka, pada usia emas, saya masih jadi bintang utama walaupun hanya sebagai hantu.

“Percaturan Mamat tidak silap apabila filem itu muncul sebagai jenama kukuh, sekali gus memberikan impak besar kepada saya sebagai pelakon. Saya dan Mamat memang 'ngam' sejak dahulu,” katanya.

Di sebalik populariti diraih, Delimawati berkata, tidak ramai tahu cabaran yang dilaluinya untuk membawa watak hantu popular itu.

“Orang ingat, watak Kak Limah mudah, sekadar muncul untuk mengejut dan menakutkan orang ramai. Sedangkan cabaran utamanya, kami tidak tidur malam.

“Ramai yang tidak tahu cara Mamat bekerja. Dia suka berkarya pada waktu malam dan penggambaran Hantu Kak Limah pula banyak dilakukan ketika orang lain sedang enak diulit mimpi.

“Kami bekerja dari petang hingga pagi esoknya. Jadi, bila masa nak tidur? Tetapi, itu cara Mamat bekerja dan kami tiada bantahan,” katanya.

Delimawati berkata, dia bersyukur kerja keras dan jenama Hantu Kak Limah yang kuat memberinya tuah apabila terpilih sebagai Top 5, Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32.

“Ia kejutan besar buat saya. Pada usia emas, saya bersaing dengan nama besar dan popular seperti Erra Fazira, Mira Filzah, Hannah Delisha dan Uqasha Senrose.

“Saya berterima kasih kepada peminat yang mengundi. Saya tidak meletakkan harapan, sebaliknya dapat menembusi Top 5 sudah dikira kejayaan besar. Saya tidak sangka, watak hantu pun boleh popular,” katanya.

Berita Harian X