Rabu, 11 September 2019 | 11:42am
KEHADIRAN Faeq mengisi kekosongan hidup Sufian. Foto IG Sufian Suhaimi

Faeq penawar hati Sufian Suhaimi

KUALA LUMPUR: “Mungkin belum masa saya menamatkan zaman bujang, tetapi ini masa yang sesuai untuk memiliki anak angkat kerana kehadirannya juga membawa rezeki.

“Selamat datang Faeq. Ayah Yan sayang Faeq,” demikian luahan penyanyi, Sufian Suhaimi yang dikongsi menerusi Instagram.

Penyanyi yang popular dengan lagu Di Matamu itu mengakui, pada usia 27 tahun, dia sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai bapa kepada Faeq atau nama lengkapnya Faeq Razeeq.

Bagi Sufian, usia dan status sebagai lelaki solo bukan halangan mengambil keputusan itu, tambahan pula dirinya memerlukan dorongan untuk bekerja lebih kuat.

“Selama ini, banyak masa saya gunakan untuk mencari apa yang kurang dalam diri. Sudah tentu, saya banyak meluangkan masa 'bercakap' dengan Allah.

“Semua saya ceritakan. Ada juga rakan yang menjadi pendengar setia. Sebelum mengambil keputusan besar ini, saya sudah berfikir panjang dan berdoa meminta petunjuk,” katanya.

Sufian berkata, dia teruja setiap kali berjumpa rakannya yang memiliki anak, malah gembira melihat kehidupan mereka yang lengkap.

Finalis Penyanyi Lelaki Popular DuitNow dan Lagu Paling Boom, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu menyifatkan, kehadiran anak dalam kehidupan sangat istimewa.

“Apabila berjumpa kawan yang sudah ada anak, perasaan itu lain. Terdapat sesuatu yang istimewa mengenai bayi. Kehadiran anak membuatkan hidup seseorang lengkap.

“Saya bersyukur dengan nikmat hidup ini. Allah begitu pemurah dalam melimpahkan rezeki kepada saya, begitu juga kepada yang lain. Saya tidak rasa terlalu muda untuk memikul tanggungjawab besar ini,” katanya.

1819 dibaca
Berita Harian X