Rabu, 11 September 2019 | 1:02pm
PERSONALITI penyiaran, Faizal Ismail, menyambung pengajian peringkat sarjana di Wales, United Kingdom. - Foto ihsan Faizal Ismail

Pandangan skeptikal dorong Faizal kejar impian di UK

KUALA LUMPUR: Personaliti penyiaran, Faizal Ismail, mengakui ramai skeptikal dengan keputusannya menyambung pengajian di United Kingdom (UK) pada usia mencecah 43 tahun.

Tidak terkesan dengan pandangan sedemikian, Faizal sebaliknya berkata, perkara itu menyemarakkan lagi semangatnya untuk merealisasikan impian menggenggam ijazah sarjana.

Baginya, faktor umur bukan penghalang cita-cita yang sudah dipendam sejak tiga tahun lalu, malah kesungguhan ditunjukkan diharap menjadi contoh kepada empat cahaya matanya supaya tidak jemu menuntut ilmu.

“Selain menyambung pengajian demi masa depan, saya mahu usaha kembali bergelar pelajar ini dijadikan motivasi buat insan lain, terutama anak sendiri, untuk berani menyahut cabaran belajar setinggi yang terdaya.

“Walau pun ada yang sinis apabila saya menyuarakan hasrat menyambung pengajian, suatu ketika dulu, masih ramai di luar sana yang memberikan galakan dan sokongan kerana yakin saya mampu menggalas tanggungjawab itu.

“Apa pun, saya abaikan sahaja aura negatif sebegitu berikutan sejak dahulu saya suka menyahut cabaran dan berani mencuba. Kalau dengar cakap orang, kita takkan ke mana,” katanya yang tiba di North Wales, Ahad lalu.

Faizal yang juga hos popular akan mendaftar sebagai penuntut Sarjana Industri Kreatif dan Budaya di Universiti Cardiff, United Kingdom (UK) pada 20 September ini dan mula memasuki dewan kuliah tiga hari kemudian.


KELUARGA Faizal akan mengikutinya ke United Kingdom selepas anak sulungnya, Nur Khairina Iman, selesai menduduki SPM. - Foto ihsan Faizal Ismail

Katanya, keluarganya akan menyusul ke Cardiff hanya selepas anak sulung mereka, Nur Khairina Iman, 17, menamatkan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

“Buat masa ini, saya masih di rumah kawan lama yang sudah bermastautin di sana. Syukur segala-galanya dipermudahkan kerana kediaman kami nanti hanya tujuh minit berjalan kaki ke kampus, manakala untuk ke sekolah anak-anak cuma 10 minit.

“Sebenarnya, sepanjang tiga tahun ini, saya bertemu dengan ramai orang baik-baik, yang memudahkan lagi perjalanan ke arah cita-cita menyambung pengajian. Ia termasuk kawan sekolah rendah di sini (North Wales) dan seorang lagi kenalan baharu yang membantu mencarikan rumah berhampiran kampus.

“Ada hikmah juga saya berangkat lebih dahulu kerana semua urusan pengajian, kediaman dan persekolahan anak-anak dapat diuruskan lebih awal. Jadi, segala-galanya sudah tersedia sebaik sahaja isteri dan anak-anak tiba nanti,” akuinya.

Selain Nur Khairina, rumah tangga Faizal dan Nor Azlina Ahmad Din diserikan tiga lagi cahaya mata, iaitu Muhammad Khalish Iman, 8, Khayla Nur Iman, 6, dan Qalisya, 2.

Sementara itu, perniagaan makanan sedia dinikmati diusahakannya tetap berjalan seperti biasa, begitu juga program temu bual dalam talian bersama Fara Fauzana, Dbilique, yang bersiaran setiap Sabtu, bermula minggu ini.

2892 dibaca
Berita Harian X