Khamis, 12 September 2019 | 9:00am
AMEER mempertaruhkan single ketiga, Sudahlah bersama gitaris Mojo, Danny. Foto Nurul Syazana Rose Razman

Ameer Forteen semakin yakin bergerak solo

KUALA LUMPUR: Pelbagai komen positif yang diterimanya sejak tampil dengan single ketiga, Sudahlah memberi keyakinan kepada anggota Forteen, Ameer untuk terus mara sebagai penyanyi solo.

Ameer berkata, dia terharu apabila peminat semakin mempercayai kemampuannya, malah memuji kematangan nyanyiannya menerusi lagu terbaru yang dirakamkan bersama gitaris kumpulan Mojo, Danny.

“Peralihan daripada penyanyi latar sehingga mampu berdiri solo membuatkan ramai melihat pencapaian saya itu sebagai inspirasi.

“Terharu saya membaca komen seperti itu. Ia sekali gus membuktikan penat lelah untuk merealisasikan lagu ini menampakkan hasil diharapkan,” katanya.

Ameer atau nama lengkapnya Mohd Arif Ameerais Azhar, 29, berkata lagu ciptaan Merah Biru itu juga berbeza daripada dua single terdahulunya iaitu Hitam dan Pulangkan Cinta.

“Ketika bersama Forteen, kami lebih cenderung merakamkan lagu pop dan balada. Namun, apabila tampil solo, saya berusaha mencari kelainan dengan mencuba genre rock balada.

“Tidak dinafikan, penghasilan lagu ini banyak dipengaruhi Danny yang berasal dari Indonesia. Sebagai penyanyi, saya sentiasa mencabar diri keluar dari zon selesa untuk membuktikan kemampuan,” katanya mengenai lagu yang diperkenalkan di platform digital sejak 6 September lalu.


SOKONGAN isteri memberi kekuatan untuk terus mengorak langkah sebagai penyanyi solo. Foto NSTP

Ameer berkata, dia turut berterima kasih kepada isterinya, Siti Nurnaja'a Shamsul Kamar yang menjadi tulang belakang kekuatan kariernya.

“Alhamdulillah, semuanya bertambah baik sejak saya mendirikan rumah tangga pada 1 Mac lalu. Isteri sentiasa menyokong perjuangan saya, malah banyak memberikan nasihat untuk saya terus memperbaiki kekurangan diri,” katanya.

1161 dibaca
Berita Harian X