Khamis, 12 September 2019 | 11:00am
HAMPIR dua tahun berumah tangga, Izara kini bersedia untuk menimang cahaya mata. Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Izara Aishah cuti berlakon, sudah bersedia jadi ibu

KUALA LUMPUR: Hampir dua tahun masanya dipenuhi dengan pelbagai komitmen kerjaya, pelakon Izara Aishah mengambil keputusan berehat seketika bagi memberi tumpuan kepada keluarga.

Izara, 26, berkata, dia kini mengosongkan jadual kerjaya seninya sehingga tahun hadapan sebagai persediaan menjadi ibu.

“Sebelum ini, saya dan suami mahu meluangkan masa berdua, di samping berusaha memastikan kedudukan ekonomi kami stabil. Kini, kami sudah bersedia jika dikurniakan cahaya mata.

“Saya memang sukakan kanak-kanak, malah tidak sabar menggalas tanggungjawab sebagai ibu. Saya bagaimanapun, tidak mahu memberikan diri tekanan, sebaliknya menyerahkan kepada ketentuan rezeki,” katanya.

Isteri kepada ahli perniagaan, Muhammad Adib Khalid itu ditemui pada majlis pelancaran tuala wanita, Enya, kerjasamanya bersama Elaine Hong, di sini, semalam.


SUAMI sentiasa menjadi tempat rujukan Izara bagi mengelakkan diri daripada terjerat kontroversi. Foto Mahzir Mat Isa

Pernah berdepan kontroversi, terutama dari segi penampilan dan pemakaian, bintang Vanila Coklat itu berkata, dia bertuah kerana suaminya banyak memberikan nasihat.

“Saya mengakui kesilapan apabila tampil seksi pada sesetengah acara yang dihadiri. Seboleh mungkin, saya tidak mahu lagi terus dikaitkan dengan kontroversi dan sering meminta pendapat suami mengenai pemilihan pakaian yang bersesuaian.

“Jika tidak kena pada matanya, saya akan menukar pakaian lain. Lebih baik begitu kerana sekurang-kurangnya saya dapat mengelak daripada terus terpalit dengan kontroversi,” katanya.

Izara dan Adib mendirikan rumah tangga pada 17 November 2017.

9113 dibaca
Berita Harian X