Khamis, 12 September 2019 | 5:12pm
MAMAT (kiri) pada sidang media khas di Bangsar, sebentar tadi. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Mamat mohon maaf, mahu masuk pusat pemulihan

KUALA LUMPUR: Bekas vokalis Exists, Mamat, memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan insiden penangkapannya berhubung kes dadah, baru-baru ini.

Kesal dengan apa yang berlaku, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamaruddin, 41, berjanji takkan mengulangi kesilapan itu bagi memastikan konsert Exists Reunion di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 28 September ini, berjalan lancar.

"Saya memohon maaf kepada peminat dan pihak media yang sudah menguar-uarkan konsert ini. Apa yang berlaku sebelum ini adalah di luar jangkaan saya. Jujurnya, saya sendiri terkejut dan rasa bersalah kerana mengecewakan semua pihak dengan insiden penangkapan itu.

"Cuma, saya tidak boleh menjelaskan secara terperinci kejadian yang berlaku kerana ia masih dalam siasatan polis.

"Sekarang, saya hanya mahu memandang ke hadapan dan menumpukan perhatian pada persiapan konsert ini,” katanya pada sidang media khas di Bangsar, di sini, sebentar tadi.


KUMPULAN Exists pada sidang media khas di Bangsar, sebentar tadi. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects selaku penganjur konsert terbabit, Shirazdeen Karim, dan anggota Exists yang lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Mamat turut meluahkan hasrat memasuki pusat pemilihan bagi mendapatkan rawatan ketagihannya itu.

"Saya mula menyimpan hasrat untuk berubah sejak setahun lalu, cuma waktu itu tiada dorongan kuat diterima. Kini saya mendapat sepenuh galakan daripada anggota Exists dan pihak penganjur.

"Insya-Allah, saya akan mendapatkan rawatan sebaik sahaja konsert kami selesai nanti," ujarnya.

Kelmarin, BH Online melaporkan, penyanyi Untukmu Ibu itu dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan polis.

Mamat ditahan kira-kira jam 11.30 malam, Ahad lalu, ketika menaiki motosikal di Taman Perling, Johor Bahru, bersama seorang rakannya, kerana memiliki sejumlah dadah jenis syabu.

Ujian saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah.

10140 dibaca
Berita Harian X