Ahad, 15 September 2019 | 1:03pm
NELISSA Nezam mendakwa belum mencapai kata putus berhubung status rumah tangga bersama aktor, Ammar Alfian. - Foto Instagram Nelissa Nezam

'Belum ada kata putus isu rumah tangga kami'

KUALA LUMPUR: Belum mencapai kata putus berhubung status rumah tangga dibina bersama aktor, Ammar Alfian, Nelissa Nezam menjelaskan masing-masing kini memberikan fokus kepada tanggungjawab sebagai ibu bapa buat anak mereka.

Nelissa memberitahu BH Online, dia tidak mempunyai jawapan berhubung hala tuju perkahwinannya selepas mendakwa suami berlaku curang ketika dirinya sedang sarat hamil.

Menjadikan media sosial sebagai medan untuk berkongsi luahan emosi, Nelissa mempunyai pendapatnya tersendiri berhubung perkara itu.

“Perkara yang berlaku antara saya dan Ammar bukan lagi rahsia, namun buat masa ini kami belum membuat sebarang keputusan berhubung hala tuju rumah tangga. Saya ingin meneruskan kehidupan, namun berbeza pula dengan Ammar yang mahukan sesuatu berbeza. Apabila tiba masanya nanti, kami pasti akan kongsikan kepada umum berhubung keputusan yang diambil.

“Isu timbul ketika saya sedang hamil enam bulan dan kami perlu menunggu sehingga saya selamat melahirkan. Fokus ketika ini pula adalah untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada anak kami yang masih kecil.

“Menjadikan media sosial sebagai medium untuk berkongsi rasa, saya menerima banyak maklum balas daripada wanita yang berdepan masalah sama. Saya tidak mahu golongan wanita takut atau malu apabila dianiaya, sebaliknya mereka perlu bangkit bagi mempertahankan hak. Perkara begini sukar dijangka, dan saya sendiri tidak menduga berdepan dengan situasi sedemikian,” kata Nelissa.

Mei lalu, Nelissa mendedahkan perbualannya dengan Ammar menerusi WhatsApp di Instagram Story yang mendakwa pelakon sasa itu berlaku curang terhadapnya.

Menurut Nelissa, keluarga dan rakan antara individu yang sentiasa memberikan kata-kata semangat supaya dia kuat menghadapi dugaan.

Sementara itu, mengulas mengenai perkongsian gambar dirinya berada di gimnasium hanya selepas 18 hari bersalin, Nelissa berkata, dia terlebih dahulu mendapatkan nasihat doktor sebelum meneruskan rutin senamannya.


ANAK lelaki Nelissa dan Ammar, Kyro Shakur. - Foto Instagram Kyro Shakur

Gambar yang dimuat naik itu mengundang pelbagai reaksi daripada warganet yang prihatin terhadap kesihatan dalaman wanita berkenaan.

“Terima kasih kepada semua yang prihatin dengan kesihatan saya, tetapi keputusan yang diambil untuk bersenam dibuat selepas mendapat nasihat doktor.

“Katanya, kita lebih mengetahui badan sendiri dan saya aktif bersenam sejak awal proses kehamilan sehinggalah ke penghujungnya.

“Malah, ramai juga menanyakan pelbagai soalan mengenai cara saya berpantang dan sebagainya. Saya baru sahaja selesai tempoh berpantang dan dalam tempoh itu, saya masih mengamalkan bertungku, berurut, menjaga pemakanan dan sebagainya,” kata Nelissa.

Nelissa dan Ammar mendirikan rumah tangga pada 6 Mac 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Kyro Shakur, pada 31 Julai lalu.

Berita Harian X