Isnin, 16 September 2019 | 8:03pm
DIAMONDS menjadi simbolik cinta Kaka terhadap Adam. Foto IG Kaka Azraff

Diamonds abadi momen manis Kaka sebagai isteri, bakal ibu

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Kaka Azraff mengabadikan momen manis sebagai isteri dan debaran menanti detik menjadi ibu menerusi lagu terbarunya, Diamonds.

Kaka atau nama penuhnya Nor Atiqa Noor Azraff yang bakal menimang anak sulung bulan depan berkata, lagu ciptaan komposer dan penyanyi rap, Alif itu turut mengungkap perasaannya terhadap suami, Adam Azriff.

“Diamonds menzahirkan perasaan saya selepas melayari kehidupan bersama lelaki tercinta, seterusnya bakal diserikan dengan kehadiran cahaya mata.

“Sebagai isteri, saya bersyukur dengan segala kemanisan yang dikecapi sepanjang menjalani kehidupan berumah tangga. Dicintai, dihargai dan diberi perhatian sepenuhnya oleh suami menjadi momen yang cukup membahagiakan,” katanya.

Kaka yang mendirikan rumah tangga pada 14 Disember lalu berkata, lagu itu juga menjadi simbolik cinta terhadap suaminya.

“Perasaan cinta itu terus berkembang selepas saya sah menjadi isteri Adam. Saya bersyukur dikurniakan suami seperti Adam dan berharap kebahagiaan ini akan berkekalan sehingga ke akhir usia,” katanya.

Tahun lalu, penyanyi pop R&B itu muncul dengan tiga single, termasuk Sibuk, Shout It Out (lagu runut bunyi filem Gol & Gincu Volume 2) dan duet bersama Maya Karin menerusi lagu, Getaway.

Diamonds yang diterbit dan diedarkan Warner Music Malaysia mula diperkenalkan di semua pelantar digital sejak 6 September lalu.

Berita Harian X