Khamis, 19 September 2019 | 6:22pm
MIRA merancang ikuti kelas lakonan untuk terus memantapkan bakat yang ada. Foto IG Mira Filzah

Mira Filzah mahu jadi pelakon terbaik

KUALA LUMPUR: Dilihat sebagai antara pelakon yang sedang laris memenuhi pelbagai tawaran, pelakon dan pengacara jelita, Mira Filzah tidak mahu selesa dengan pencapaian yang diraih.

Mira sebaliknya, berhasrat mengikuti kelas lakonan untuk terus mengasah bakat kerana tidak mahu dikatakan hanya bersandar pada populariti.

Pelakon filem Sangkar itu berkata, dia perlu memanfaatkan kepercayaan yang diberikan untuk memperbaiki kekurangan diri kerana kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha.

“Kekangan masa membuatkan hasrat memasuki kelas lakonan sering tertangguh. Saya bermula dengan tangan kosong, tanpa sebarang asas dalam bidang seni. Namun, peluang demi peluang yang diraih memberikan saya ruang untuk terus memperbaiki diri.

“Saya bagaimanapun, sentiasa mengingatkan diri supaya tidak selesa dengan pencapaian. Setiap tahun, saya meletakkan sasaran tertentu untuk dicapai dan memasuki kelas lakonan adalah antara usaha saya memantapkan bakat yang ada.

“Saya berharap tahun depan berpeluang menjayakan naskhah berat, sekali gus membuktikan kesungguhan saya menjadi pelakon terbaik,” katanya.

Selepas mencipta fenomena menerusi drama, Lelaki Kiriman Tuhan dan Pujaan Hati Kanda bergandingan dengan Remy Ishak, populariti Mira semakin utuh apabila lakonannya bersama Ben Amir dalam Sweet Dreams mendapat pujian ramai.

Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman juga mampu menarik nafas lega apabila filem Sangkar lakonannya turut meraih kutipan selesa dan masih ditayangkan di pawagam.

“Banyak ujian yang saya lalui ketika menjayakan Sweet Dreams. Secara peribadi, saya tidak sangka drama ini mendapat sambutan yang begitu hebat daripada penonton. Saya berterima kasih kepada pengarah, Michael Ang kerana banyak memberikan tunjuk ajar.

“Begitu juga Ben yang memudahkan kerja kami di lokasi penggambaran, Biarpun pada permulaan, dia agak pemalu, kami tidak sukar mencari keserasian. Dia berbakat besar, malah kesungguhannya ketika penggambaran menjadi pemacu untuk saya turut memberikan yang terbaik,” katanya.

Meraih pencalonan tertinggi pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 dengan tujuh pencalonan menerusi enam kategori, Mira dilihat sebagai antara finalis yang mempunyai harapan besar mengungguli trofi Bintang Paling Popular, selain Siti Nordiana.

Mengulas mengenainya, Mira berkata, harapan besar yang diletakkan peminat di bahunya membuatkan dia sedikit gusar. Secara jujur, Mira bimbang jika nanti dia mengecewakan harapan mereka.

“Sebelum ini, peminat pernah menangis dan kecewa apabila saya tewas dalam sebuah acara anugerah. Ia membuatkan saya berbelah bahagi hingga pada satu tahap saya tertanya sendiri, apakah saya belum cukup baik?

“Apa sahaja boleh berlaku, terutama pada acara anugerah membabitkan undian peminat. Menang kalah itu adat bertanding, saya hanya serahkan pada rezeki,” katanya.

ABPBH 32 menyaksikan Mira dicalonkan bagi kategori Pengacara TV Popular, Artis Versatil Popular, Pelakon Wanita Popular Alha Alfa dan Pelakon Filem Wanita Popular.

Namanya turut membolosi dua kategori online, impak gandingannya bersama Remy Ishak dalam menerusi dua pencalonan bagi kategori Gandingan Serasi Drama Popular, selain Gandingan Serasi Filem Popular.

Berita Harian X