Ahad, 22 September 2019 | 5:11pm
PELAKON, Noorkhiriah Ahmad Shapie, akan menaiki pentas ABPBH 32, malam ini, sebagai penyampai trofi. - NSTP/Rohanis Shukri

Noorkhiriah kenang saat manis menang trofi ABPBH

KUALA LUMPUR: Memori memenangi tiga trofi Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) tetap dikenang pelakon berbakat, Noorkhiriah Ahmad Shapie, sampai bila-bila.

Pelakon drama rantaian Nur dan Nur 2 itu mengakui, kejayaan pada acara kebanggaan akhbar BH itu menyuntik semangatnya untuk terus mempertingkatkan kualiti kerja.

“Saya bersyukur kerana sempat juga merasa naik ke pentas dan menggenggam trofi ABPBH. Zaman saya dahulu, undian masih secara konvensional, iaitu menerusi keratan akhbar. Kini semuanya dilakukan secara dalam talian. Begitupun, siapa yang mengundi untuk saya, diucapkan berbanyak terima kasih banyak.

“Saya masih ingat, ketika naik ke pentas buat kali pertama, fikiran melayang entah ke mana sebab terkejut diumumkan sebagai pemenang. Dek terlalu gementar juga, ucapan kemenangan pun ‘ke laut’. Apapun, ia tetap manis untuk dikenang.

“Tuhan sudah menganugerahkan kejayaan kepada saya, tidak lama dahulu. Sekarang, zaman saya duduk di rumah, buat persembahan di depan anak pula. Merekalah tukang tengok dan tolong tepuk,” katanya berseloroh.

Ujarnya, malam ini, dia sekali lagi akan menaiki pentas acara berprestij berkenaan, sebagai penyampai trofi.


NOORKHIRIAH mengimbas semula kejayaan pada ABPBH dengan berkongsi gambar trofi pernah dimenangi, di laman Instagramnya. - Foto IG Noorkhiriah

Jumaat lalu, pelakon yang dikenali dengan watak Aishah dalam drama popular terbabit mengimbas semula kejayaannya dengan memuat naik tiga trofi ABPBH yang dimenangi pada edisi 2009-2011, di laman Instagram.

Kata pelakon drama Bedah Tong Gas ini, kemenangan tiga kali itu disifatkannya sebagai rezeki anak.

“Ia memang kejayaan tak dijangka. Bayangkan, ketika itu, ramai lagi calon hebat seperti Didie Alias, Amyza Aznan, Kenchana Dewi, Enot dan sebagainya.

“Apa yang pasti, kemenangan itu takkan dapat diulangi. Ia akan kekal menjadi sejarah peribadi dan yang terindah buat saya. Terima kasih BH dan rakan wartawan yang begitu setia menyokong saya, selama ini.

“Zaman saya sudah berakhir,” tuturnya yang juga bakal membintangi Nur versi filem, tahun depan.

Berita Harian X