Ahad, 22 September 2019 | 9:50pm

Mira Filzah Bintang Paling Popular ABPBH 32


Mira Filzah dinobatkan Anugerah Bintang Paling Popular ABPBH 32. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Mira membawa pulang hadiah utama, kereta Nissan X-Trail 2.0L Hybrid bernilai RM160,000. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

PUTRAJAYA: Dikurniakan pakej lengkap, selain memiliki personaliti menyenangkan dan dibantu populariti drama Pujaan Hati Kanda serta Lelaki Kiriman Tuhan, tuah menyebelahi pelakon jelita, Mira Filzah apabila dijulang peminat sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, malam ini.

Meraih undian tertinggi menerusi kategori Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa dengan 6,320,463 undi, Mira, 26, menafikan kemaraan pencabar terdekatnya, Khai Bahar yang dilihat berpotensi besar mengungguli trofi tu.

Yang turut memberikan saingan bagi gelaran tertinggi pada acara kemuncak yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu ialah Janna Nick, DJ Lin dan Fattah Amin.

Kemenangan itu melayakkan Mira membawa pulang hadiah utama, kereta Nissan X-Trail 2.0L Hybrid bernilai RM160,000, sumbangan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) berserta trofi.

Hadiah disampaikan pemenang Bintang Paling Popular ABPBH 1990, Aishah.


Mira Filzah memenangi kategori Anugerah Bintang Paling Popular. - NSTP/Surianie Mohd Hanif

Mira Filzah dinobatkan Anugerah Bintang Paling Popular ABPBH 32. - NSTP/Surianie Mohd Hanif

Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa dan Pelakon Filem Wanita Popular, Mira Filzah. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Terdahulu, Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman mengungguli kategori Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa, menghampakan Siti Nordiana dan Janna Nick yang turut memberikan saingan sengit membuktikan pengaruh mereka pada mata peminat.

Mira juga cemerlang apabila membawa pulang trofi Pelakon Filem Wanita Popular, menafikan kemaraan bintang senior, Erra Fazira dan Delimawati, selain Uqasha Senrose serta Hannah Delisha.

Keampuhan gandingannya bersama Remy Ishak turut membawa tuah kepada anak kelahiran Ipoh, Perak itu apabila diumumkan sebagai pemenang kategori online, Gandingan Serasi Drama Popular menerusi Pujaan Hati Kanda.

Meskipun nasib belum berpihak kepadanya untuk meraih gelaran Bintang Paling Popular, kedudukan Khai masih tidak goyah apabila mempertahankan buat tahun ketiga berturut-turut trofi Penyanyi Lelaki Popular DuitNow.

ABPBH 32 juga melakar kenangan menarik apabila Syafiq Kyle menebus kekecewaannya tahun lalu dengan meraih Pelakon TV Lelaki Popular Alha Alfa. Selain mengekang kemaraan Remy, Syafiq turut menghampakan pemenang tahun lalu, Fattah.


Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa, Mira Filzah bersama Pelakon TV Lelaki Popular Alha Alfa, Syafiq Kyle pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Pelakon yang popular menerusi watak Ustaz Adam dalam drama, Nur dan Nur 2 itu turut membawa pulang kemenangan berganda apabila diumumkan sebagai Gandingan Serasi Filem Popular bersama Hannah Delisha menerusi filem, Langsuir.

Sementara itu, Fattah tidak pulang tangan kosong apabila memenangi trofi Pelakon Filem Lelaki Popular, sekali gus mengetepikan pencabar terdekatnya iaitu Remy dan Zul Ariffin yang pernah dua kali mengungguli kategori itu.

ABPBH 32 juga menyaksikan kedudukan selesa Siti Nordiana apabila menghampakan pemenang tahun lalu, Wany Hasrita dengan merampas kembali trofi Penyanyi Wanita Popular DuitNow.

Keampuhan populariti penyanyi Hatiku Milikmu itu semakin kukuh apabila dia turut menjadi pilihan peminat untuk diangkat sebagai Pengacara TV Popular.


Pengacara TV Popular dan Penyanyi Wanita Popular DuitNow, Siti Nordiana. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Siti Nordiana bagaimanapun, terpaksa akur apabila gandingannya bersama Alif Satar gagal mengekang kekuatan pengaruh Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini yang diumumkan sebagai pemenang Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.

ABPBH 32 turut melakar kenangan manis buat pelakon dan pengacara, Janna Nick apabila mengungguli kategori Artis Versatil Popular. Janna menafikan saingan Siti Nordiana dan Mira, selain menghampakan pemenang edisi lalu, Alif Satar.


Artis Versatil Popular, Janna Nick. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman


Artis Komedi Popular, Zizan Razak. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Sementara itu, Zizan Razak terus mempertahankan trofi Artis Komedi Popular yang dimenanginya pada edisi ABPBH 3.0 dan 31, menghampakan Jep serta Jihan Muse yang turut memberi saingan sengit bagi kategori itu.

ABPBH 32 turut merealisasikan impian DJ Lin apabila merampas kembali trofi Penyampai Radio Popular selepas dua tahun berpindah tangan. Penyampai radio Suria FM pernah memenangi trofi itu pada edisi ABPBH 29.


DJ Lin memenangi kategori Penyampai Radio Popular. - NSTP/Aziah Azmee

Sementara itu, dua kategori baharu yang diperkenalkan, iaitu Artis Indonesia Popular menjadi milik Laudya Cynthia Bella, manakala trofi Artis Korea Popular pula berpihak kepada BTS.


Adam Lee (kanan) dan Haneesya Hanee yang masing-masing dinobatkan sebagai Artis Baharu Lelaki serta Wanita Popular, ABPBH 32. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Pelakon Adam Lee turut cemerlang apabila dinobatkan sebagai Artis Baharu Lelaki Popular, manakala Haneesya Hanee mengubat kekecewaan yang pernah dilalui dengan merangkul trofi Artis Baharu Wanita Popular, menghampakan Sarah Suhairi yang diramal mampu menjulang kemenangan.

Untuk kategori online, penyanyi Haqiem Rusli ampuh dengan dua kemenangan menerusi Artis Sensasi Popular, selain lagunya, Selamat Tinggal Sayang diumumkan sebagai Lagu Paling Boom.

Pelakon Shukri Yahaya pula cemerlang apabila memenangi trofi Pelakon Watak Antagonis Popular.

Usaha kumpulan Raihan membawa misi dakwah merentas sempadan menerusi muzik diiktiraf apabila mereka diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.


Kumpulan Raihan membuat persembahan pada malam kemuncak ABPBH 32. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Sepanjang sepanjang lebih dua dekad kumpulan yang dianggotai Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim serta Amran Ibrahim itu dalam bidang muzik, nama Raihan tidak hanya dikenali di negara sendiri, sebaliknya turut melangkaui sempadan apabila pernah membuat persembahan merentas enam benua.

SENARAI PEMENANG ABPBH 32

Kategori Utama

Bintang Paling Popular: Mira Filzah

Artis Baharu Lelaki Popular: Adam Lee

Artis Baharu Wanita Popular: Haneesya Hanee

Pelakon TV Lelaki Popular Alha Alfa: Syafiq Kyle

Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa: Mira Filzah

Pelakon Filem Lelaki Popular: Fattah Amin

Pelakon Filem Wanita Popular: Mira Filzah

Penyanyi Lelaki Popular DuitNow: Khai Bahar

Penyanyi Wanita Popular DuitNow: Siti Nordiana

Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular: Dayang Nurfaizah & Hael Husaini

Artis Komedi Popular: Zizan Razak

Artis Versatil Popular: Janna Nick

Pengacara TV Popular: Siti Nordiana

Penyampai Radio Popular: DJ Lin (Suria FM)

Artis Indonesia Popular: Laudya Cynthia Bella

Artis Korea Popular: BTS

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat: Raihan


Raihan memenangi Kategori Anugerah Sepanjang Zaman pada malam kemuncak ABPBH 32. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Kategori Online

Gandingan Serasi Drama Popular: Remy Ishak & Mira Filzah (Pujaan Hati Kanda)

Gandingan Serasi Filem Popular: Syafiq Kyle & Hannah Delisha (Langsuir)

Pelakon Watak Antagonis Popular: Shukri Yahaya

Artis Sensasi Popular: Haqiem Rusli

Lagu Paling Boom: Selamat Tinggal Sayang (Haqiem Rusli)

Lagi gambar: https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/13/2019/09/609530/anugerah-bint...

Berita Harian X