Selasa, 24 September 2019 | 11:10am
GANDINGAN Dayang dan Hael meraih tuah apabila dinobatkan peminat sebagai Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, ABPBH 32. Foto Nurul Shafina Jemenon

Dayang letak syarat sebelum kembali berduet

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Dayang Nurfaizah meminta semua pihak supaya tidak mengaitkan soal kemenangannya dan Hael Husaini dalam kategori Artis Kolaborasi/Duo/Bekumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, sebagai menumpang tuah antara satu sama lain.

Tegas Dayang, tiada sebab mereka terlalu bergantung dengan cara itu kerana sebelum ini, kedudukannya dan Hael dalam industri hiburan sudah kukuh, selain masing-masing pernah menempa kejayaan membanggakan.

“Dayang memang tidak suka apabila ada pihak mengaitkan kemenangan kami disebabkan menumpang populariti satu sama lain.

“Tiada sebab kami mengambil kesempatan antara satu sama lain kerana jika diimbas kembali perjalanan seni Dayang dan Hael, masing-masing ada pencapaian tersendiri.

“Seperti Hael, dia pernah memenangi trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) menerusi lagu, Jampi. Masing-masing ada kekuatan tersendiri dan peminat kami mengundi atas faktor itu.

“Kalau ada yang menganggap, gandingan kami yang membentuk #haeyang membawa tuah, saya terima kerana keserasian itu membuatkan kolaborasi kami menerusi Haram menjadi,” katanya.

Menerusi kerjasama itu juga, Dayang dan Hael berkongsi kejayaan apabila Haram dijulang sebagai pemenang Juara Lagu pada AJL Ke-33, Februari lalu.

Ketika ditemu bual sejurus selepas memenangi anugerah itu, Hael yang pernah menghasilkan lagu Anta Permana nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui, akan ada lebih banyak kerjasama membabitkan mereka berdua selepas ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Dayang yang muncul dengan single terbaru, Sebentar berkata, dia sentiasa mengalu-alukan kerjasama mereka, namun perlu ada syarat yang harus dipatuhi.

“Saya tidak kisah kembali berduet dengan Hael kerana keserasian antara kami sudah wujud. Sayang jika ia terhenti setakat satu lagu.

“Cuma, kalau boleh, saya tidak mahu kami berduet semata-mata memenuhi hasrat peminat hingga mengabaikan soal kualiti.

“Dayang tidak mahu merakamkan lagu sekadar tangkap muat. Kalau bukan lagu duet, Dayang teringin merakamkan lagu ciptaan Hael pada masa akan datang. Kerjasama ini harus diteruskan,” katanya.

Menerusi kategori itu, Dayang dan Hael mengetepikan saingan Alif Satar & Siti Nordiana; Floor 88 & Baby Shima; Insomniacks dan Khai Bahar & Fatin Husna.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X