Ahad, 29 September 2019 | 2:54pm
Aksi vokalis Exists, Mamat dan Ezad mengimbau nostalgia sepanjang hampir tiga jam konsert berlangsung. Foto NSTP Sairien Nafis

Formula Exists nyanyi penuh, papar lirik menjadi

SHAH ALAM: Taktik menyanyi lagu penuh bukan medley, selain paparan lirik pada skrin bagi setiap karya didendangkan, menjadikan Konsert Exists Reunion 2019 di Stadium Malawati di sini, malam tadi, ‘gempak’.

Konsert itu bukan sahaja menyaksikan penyatuan semula anggota kumpulan itu selepas lebih dua dekad membawa haluan sendiri, malah, lebih 4,000 peminat, ‘hanyut’ dalam buaian emosi apabila Mamat dan Ezad Lazim beraksi.

Dalam konsert hampir tiga jam itu, Exists menyampaikan 24 lagu yang menterjemahkan perjalanan hidup band popular itu sepanjang 28 tahun bergelar anak seni.

Ajai yang menjadi antara pelopor Exists berkata, mereka menolak segmen medley kerana mahu memberi kepuasan maksimum kepada penonton.

“Kami ada banyak lagu popular... Sayang jika disampaikan secara medley. Ini kerana kami mahu peminat terhibur dan menyanyi beramai-ramai.

“Sebab itulah kami menyediakan dua skrin yang memaparkan lirik untuk memudahkan peminat menyanyi bersama seperti di pusat hiburan karaoke,” katanya kepada BH Online.

Sepanjang konsert berlangsung, penonton disajikan dengan tayangan video temubual bersama ahli kumpulan Exists. Ini termasuk individu penting yang bertanggungjawab membawa mereka ke persada seni seperti Johan Aziz.

Sebagai bonus, Exists menghadiahkan single baharu berjudul Tak Berakhir yang dihasilkan sempena konsert reunion itu yang dibawakan Shiraz Projects Sdn Bhd.

Minggu depan, band yang popular dengan lagu Rahsia Pohon Cemara ini akan menemui peminat di Singapura.

Berita Harian X