Selasa, 1 Oktober 2019 | 9:00am
Judika teruja untuk beraksi di konsert solo di DFP selama dua hari mulai 19 Oktober depan. Foto Nur Adibah Ahmad Izam

'Undangan DFP bagai magis'

KUALA LUMPUR: Menjadi penyanyi lelaki Indonesia pertama menjayakan konsert solo di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Judika menyifatkan undangan pentas berprestij itu suatu hadiah besar dalam karier seninya.

Menganggap segala-galanya umpama magis, Judika teruja beraksi dalam konsert yang bakal dipentaskan dua hari mulai 19 Oktober ini.

“Bagai suatu magis apabila saya didatangkan dengan peluang keemasan ini. Saya anggap ini sejarah peribadi dalam kerjaya seni, apatah lagi menjadi artis lelaki Indonesia pertama membuat konsert solo di DFP diiringi Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO).

“Saya percaya bukan mudah peluang ini diberi, apatah lagi DFP cukup selektif. Saya anggap ini hadiah besar untuk saya terus melakar kejayaan.

“Hakikatnya, saya teruja bagaimana agaknya kombinasi vokal yang terarah kepada rock apabila disatukan dengan muzik orkestra... Pasti momen luar biasa,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, penyanyi legenda, Ruth Sahanaya turut dijemput mementaskan konsert solo di DFP, tahun lalu.

Judika, 41, yang baru muncul dengan single Cinta Karena Cinta memberitahu, tarikh konsertnya jatuh pada hari kelahiran anak sulung, Cleo Deomora Boru Sihotang, iaitu pada 20 Oktober ini.

“Selalunya, pada hari jadi anak atau isteri, saya tidak menerima tawaran kerja. Namun, kali ini, saya beralah, tidak mengapa.

“Sebagai ganti, saya akan membawa keluarga bercuti di Kuala Lumpur. Sambil bersantai, mereka boleh menonton konsert saya,” kata suami kepada Duma Riris Silalahi ini.

Peminat yang mahu mendapatkan tiket boleh membelinya di kaunter Box Office DFP atau melayari laman web www.mpo.com.my.

Berita Harian X