Rabu, 2 Oktober 2019 | 6:56pm
PENYANYI, Kaka Azraff bersama suami, Adam Azriff pada pelancaran video muzik rasmi Diamonds di Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Kaka bakal timang anak lelaki minggu depan

SHAH ALAM: Penyanyi, Kaka Azraff, mengaku sudah memilih nama untuk cahaya mata lelakinya yang bakal dilahirkan pada minggu hadapan.

Kaka berkata, nama yang bakal diberikan kepada anak sulungnya adalah hasil perbincangan bersama suami, Adam Azriff, selain mempunyai erti tersendiri buat mereka berdua.

“Nama untuk anak sulung kami sudah pun dipilih, cuma ia belum dapat dikongsi kepada umum. Bukan apa, siapa tahu kalau tiba-tiba kami berubah fikiran?

“Jika diikutkan, memang saya teringin menimang anak perempuan. Bagaimanapun, saya bersyukur menerima apa sahaja anugerah Allah, asalkan anak bakal dilahirkan sihat. Mengikut jangkaan doktor, saya bakal bersalin pada 9 Oktober ini.

“Jika ditanya, saya akui kini cukup teruja, namun pada masa sama amat berdebar. Pengalaman sepanjang kehamilan juga banyak mengajar saya erti kehidupan,” katanya kepada BH Online.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 30, berkongsi mengenai persediaan dan debaran menjelang kelahiran anak sulungnya pada majlis pelancaran video muzik single terbarunya, Diamonds, di sini.

Berkongsi lebih lanjut, Kaka mengakui pengalaman bergelar ibu hamil sangat berharga.

Selain mengalami penambahan berat badan sebanyak 15 kilogram, dia turut berdepan masalah alahan pada penghujung proses kehamilan.

“Sukar untuk diungkapkan perasaan saya, ketika ini, tetapi ia sangat berharga dan tidak dapat ditukar ganti.

“Sebenarnya, saya sudah mengah untuk menyanyi, namun tetap ingin melancarkan single ini sebagai buah tangan buat peminat.

“Insya-Allah, selepas melahirkan, saya akan menjalani proses berpantang menggunakan khidmat pakar kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa,” kata Kaka yang turut berazam untuk mendapatkan semula bentuk tubuh asal selepas tamat tempoh itu.

Kaka dan Adam berkahwin pada 14 Disember tahun lalu.

Berita Harian X